Monday 26 August 2013

HADIS-HADIS RASULULLAH SAW





تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ مَا اِنْ تَمَسَكْتُمْ بِهِمَا لَنْ تَضِلُّوْا اَبَدَ
كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِى
Ku tinggalkan kepadamu (umat Islam) dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanya
nescaya kamu tidak akan sesat ,iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku
عَنْ سَلْمَةَ قَالَ سَمِعْتُ
رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يَقُولُ مَنْ يَقُلُ عَلَى مَا أَقُلُ فَلْيَتَبَوَّا مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Dari salmah katanya :
Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Barang siapa yang mengatakan sesuatu yang tidak pernah kuucapkan
maka menepati tempat duduknya di neraka."
Hadis sahih riwayat Muslim

Himpunan Hadis Hadis Rasullulah ( Sahabat Rasullullah )



1- Larangan Mencela Sahabat Rasullullah
Daripada Abu Said al-Khudri r.a., Nabi s.a.w bersabda: "Janganlah kamu mencela sahabatku. Demi yang diriku di tangan-Nya, jika salah seorang daripada kamu membelanjakan emas sebanyak bukit Uhud, nescaya tidak menyamai secupak daripada apa yang mereka belanjakan, malahan setengah cupak juga tidak menyamainya."
( Riwayat Muslim )


2- Dua Orang Penghulu Syurga
Daripada Anas bin Malikr.a., beliau berkata bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda kepada Abu Bakr dan Umar: "Inilah dua orang penghulu ahli syurga yang ‘dewasa’ dikalangan golongan yang terdahulu dan terkemudian melainkan para nabi dan rasul."
( Riwayat al-Tarmizi )
Keterangan:- terdapat beberapa pandangan ulama pada maksud‘dewasa’ dalam hadis ini
-orang yang yang berumur diantara tiga puluh hingga empat puluh tahun
-orang yang berumur diantara tiga puluh hingga lima puluh
-orang yang penyayang dan berakal. Allah memasukkan ahli syurga ke dalam syurga dalam keadaan mereka bersifat penyayang dan berakal.
                                                   ( Tuhfah al-Ahwazi)


3- Keistimewaan tertentu Beberapa Sahabat Nabi
Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Daripada kalangan umatku; Abu Bakr adalah yang paling mengasihani umatku; Umar adalah yang paling kuat didalam agama Allah; Uthman adalah yang paling benar bersikap malu; Ubai bin Ka’ab adalah adalah yang paling mengetahui cara membaca Al-Quran; Zaid bin Thabit adalah yang paling mengetahui ilmu faraidh (mawarith); Mu’az bin Jabal adalah yang paling mengetahui perkara halal dan haram. Sesungguhnya bagi setiap umat terdapat orang jujur; manakala daripada kalangan umat ini Abu Ubaidah bin al-Jarrah adalah yang paling jujur."
( Riwayat al-Tarmizi )


4- Keistimewaan Golongan Ansar
Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tanda orang munafikialah membenci orang Ansar; tanda orang mukmin ialah mengasihi orang Ansar."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Keterangan:- Dikhususkan keapada golongan Ansar untuk mendapat kedudukan yang besar sebegini kerana mereka telah berjaya memberi perlindungan, pertolongan dan pengorbanan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan mereka yang bersama baginda.

- Rasullullah s.a.w. Penghulu Manusia
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Akulah penghulu manusia pada hari Kiamat."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Keterangan:- Nabi s.a.w. mengatakan sebegini untuk menceritakan nikmat Allah s.w.t. Ia juga merupakan nasihat supaya kita mengetahui hak terhadap baginda s.a.w.
                                                      ( Tuhfah al-Ahwazi)


2- Rasullullah s.a.w. Sebagai Rahmat
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku diutuskan sebagai rahmat."
( Riwayat Muslim )


3- Pendidik Insan Berakhlak Mulia
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik."
( Riwayat Ahmad )


4- Keistimewaan pada Penyampaian Rasullullah
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Aku diutuskan denagn perkataan-perkataan yang ringkas dan padat."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Keterangan:- "perkataan-perkataan yang ringkas dan padat";Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. kerana ia mengandungi lafaz-lafaz yang ringkas dan makna yang banyak.
                                                       (Tuhfah al-Ahwazi)


5- Nabi s.a.w Mendahului Umatnya
Daripada Jundub bin Sufyan r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Aku mendahului kamu tiba ke kolam di syurga."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Keterangan:- "aku mendahului", menyediakan dan memberikan apa yang kamu perlukan.
                                                  ( Syarah Sahih Muslim)


6-  Jaminan Kemenangan
Daripada Thauban r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Allah telah menghimpunkan bumi untuk aku sehingga aku dapat melihat timur dan baratnya. Sesungguhnya kekuasaaan umatku akan meliputi  keluasan bumi yang dihumpankan kepadaku."
( Riwayat Muslim )


7- Kesedaran untuk Beramal
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya kamu kurang ketawa dan banyak menangis."
( Riwayat al-Bukhari )
Keterangan:- Yakni mengetahui tentang keagungan Allah, balasan terhadap pelaku maksiat dan kegerunan yang berlaku pada saat nyawa dicabut, selepas mati, dan keadaan didalam kubur dan hari kiamat.
- Mengingati perkara tersebut dapat mendorong melakukan amal ibadah.
                                                         ( Fath al-Bari)


8- Bumi Sebagai Masjid
Daripada Jabir r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Dijadikan untukku bumi sebagai masjid (tempat sujud)  yang suci."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Keterangan:- Al-Khottobi mengatakan: Umat sebelum Nabi Muhammad s.a.w. diharuskan sembahyang hanya ditempat tertentu sahaja seperti rumah ibadat dan tempat pertapaan.
                                                               (Fath al-Bari)


9- Kesempurnaan Syafaat Rasullullah s.a.w.
Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Bagi setiap nabi terdapat doa (yang telah dikabulkan di dunia) untuk umatnya. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari kiamat."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )


Keterangan:- Maksud hadis ini ialah setiap nabi telah mendoakan agar umatnya dibinasakan, melainkan Nabi Muhammad s.a.w. tidak mendoakan sedemikian. Ini kerana baginda akan memberikan syafaat  sebagai balasan kesabaran umatnya menanggung kesusahan didunia.
- Hadis ini menerangkan syafaat Nabi s.a.w. dan belas kasihan baginda terhadap umatnya. Baginda mengambil perhatian terhadap kemaslahatan umatnya yang terpenting. Maka baginda menangguhkan doa balasan azab terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan syafaat ketika itu.
                           (Fath al-Bari dan Syarah Sahih Muslim)


10- Pelbagai Golongan Mendapat Syafaat
Daripada Anas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Aku boleh berikan syafaat kepada umatku yang melakukan dosa besar."
( Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )
Keterangan:- Syafaat Rasullullah s.a.w. untuk orang yang melakukan dosa besar ialah dengan menyelamatkan mereka daripada kebinasaan. Manakala syafaat baginda untuk orang yang melakukan ketaatan ialah dengan menaikkan darjat mereka.
                                              (Syarah Sunan Ibn Majah)


11- Kelebihan Selawat
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Orang yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat keatas nya sepuluh kali."
( Riwayat Muslim )
Keterangan:- "Allah berselawat" rahmat dan gandaan ganjaran daripada Allah s.w.t.
                                                   (Syarah Sahih Muslim)


12- Orang Bakhil yang Sebenar
Daripada Ali bin Abu Talib r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Orang yang bakhil ialah orang yang mendengar namaku disebut tetapi  tidak berselawat keatasku ."
( Riwayat al-Tirmizi)
Keterangan:- Orang berkenaan disifatkan sebagai bakhil kerana menghalang diri sendiri daripada selawat Allah s.w.t. untuknya jika ia berselawat sekali.
- Sebahagian ulama mengatakan wajib sekali selawat pada setiap kali disebut nama baginda. Menurut pandangan yang lain, wajib sekali selawat dalam satu majlis yang disebut nama baginda. Manakala ketika disebut nama baginda pada kali yang lain dalam majlis itu maka hukumnya adalah sunat.
                                                   (Tuhfah al-Ahwazi) 


13- Ucapan Salam Untuk Rasullullah s.a.w.
Daripada Abdullah bin Mas’ud al-Ansori r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya untuk Allah terdapat malaikat yang berlegar-legar dimuka bumi. Mereka menyampaikan kepadaku salam daripada umatku."
( Riwayat al-Nasa’i dan Ibn Hibban ) 


        
Bab memberi nama yang baik
عَنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم
إِنَّ أَحْبَ أَسْمَا ئِكُم إِلَى اللهِ عَبْدُ الله وَعَبْدُالرَّحْمنِ
Dari Ibnu Umar r.a. katanya :
"Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesungguhnya nama yang lebih disukai  Allah
ialah Abdullah dan Abdurrahman
Hadis sahih riwayat Muslim
 
 
Bab dosa-dosa besar
عَنْ أَنَسٍ عَنِ النَّبِى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فِى الْكَبَائِرِ قَالَ الْشِّرْكُ بِاللهِ وَعُقُوْقُ الوَالِدَيْنِ
وَقَتْلُ النَّفْسِ وَقَولُ الزُّوْرِ
Dari Anas r.a. katanya :
"Bersabda Rasulullah s.a.w. tentang dosa-dosa yang besar katanya :
"Menyekutukan Allah, durhaka kepada ibu bapa
membunuh orang dan berkata dusta".
Hadis sahih riwayat Muslim
 
 
 
Bab berbuat baik dengan ibu berlainan agama
عَنْ اَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِى بَكْرٍ قَالَتْ قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّى وَهِىَ مُشْرِكَةٌ
فِى عَهْدِ قُرَيْشٍ اِذْ عَا هَدَ هُمْ فَاسْتَفْتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صلعم
يَا رَسُولَ اللهِ قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّى وَهِيَ رَاغِبَةٌ أَفَأَصِلُ أُمِّى
قَالَ نَعَمْ صِلِى أُمَّكِ
Dari Asma binti Abu Bakar r.a. katannya :
"Ibu saya datang kepada saya dan dia seorang musyrik diwaktu kaum Qureisy
mengadakan perjanjian damai dengan Nabi. Lalu saya meminta keputusan kepada Rasulullah s.a.w.
dan mengatakan : "Ya Rasulullah s.a.w. ! Ibu saya datang, dia ingin hendak bertemu dengan saya.
Bolehkah saya mengadakan hubungan dengan ibu saya?
Nabi s.a.w.  menjawab: "Ya Boleh! Hubungilah ibumu."
Hadis sahih riwayat Muslim
 
Bab bersedekah untuk ibu yang meninggal
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَجُلا أَتَى النَّبِى صلعم فَقَالَ يَارَسُولَ اللهِ
اِنَّ أُمِّى افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَلَمْ تُوصِ وَاَظُنُّهَا لَوْ تَلَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ
اَفَلَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ
Dari Aisyah r.a. (menceritakan)
"Bahawa ada seorang lelaki menemui Nabi .s.a.w. dan menanyakan : "Ya Rasulullah!
Sesungguhnya ibu saya meninggal dengan tiba-tiba dan dia tiada berwasiat.
Saya menduga kalau dia bisa berbicara tentu dia akan bersedekah.
Apakah dia akan memperoleh pahala, kalau saya menggantikannya?"
Nabi menjawab : "Ya (memperolehi pahala)".
Hadis sahih riwayat Muslim
                           

Saturday 24 August 2013

EMPAT PERKARA SEBELUM TIDUR DAN SETELAH BANGUN



PENDAHULUAN
Surah Al Baqarah [2] : [255]
.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).
Pengenalan
Risalah ini bertujuan mengemukakan hadis-hadis sahih dari Rasulullah saw mengenai amalan beliau sebelum tidur dan apakah yang dilakukan oleh beliau sewaktu bangun dari tidurnya. Tidur dan bangun sebenarnya adalah perkara yang sangat penting, kerana ia adalah pemula kepada kehidupan seharian (perlu dibincang dalam risalah yang lain).

Ini adalah sunnah Rasulullah saw, jika tidak dapat melaksanakan kesemuanya janganlah pula kita meninggalkan kesemuanya. Hadis-hadis ini hanya pilihan dan pemilihannya diantaranya terdapat yang paling mudah untuk diamalkan.
Selain itu semoga risalah ini dapat mengganti risalah hadis mengenai empat perkara sebelum tidur yang tidak diketahui asal usul hadis tersebut tetapi kian tersebar di setiap laman web. Semoga Allah melindungi kita dari ilmu yang tidak bermanfaat dan menambahkan ilmu yang bermanfaat kepada kita semua.

Hadis-Hadis Dari Rasulullah saw

Sahih Bukhari
1. Dari Abu Salim r.a : Nabi saw bersabda, “Kalau kamu tidur, jangan dibiarkan api menyala dalam rumahmu.” [1730]
Dalam riwayat lain disebutkan juga agar mengunci pintu, tutup tempat simpanan air dan menyimpan makanan dan minuman (tidak terdedah). Terdapat juga anjuran agar mengibas-ngibaskan tempat tidur tiga kali sambil menyebut nama Allah.

2. Dari Huzaifah r.a, katanya : Nabi saw ketika membaringkan diri di tempat tidur di malam hari, beliau letakkan tangannya di bawah pipinya (mengereng ke kanan) kemudian beliau berdoa, “Allahumma bismika amuutu wa ahyaa” (Ya Allah, dengan nama-Mu aku mati dan hidup).
Setelah bangun beliau berdoa, (Terjemahan : Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami kembali setelah dimatikan-Nya dan kepada-Nya kami akan bangkit kembali.” [1734]

3. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Kalau seorang wanita (isteri) tidur dengan menjauhkan diri dari suaminya, maka malaikat melaknati wanita itu sampai ia kembali kepada suaminya.” [1606]

4. Sesiapa yang membacanya (Ayat Al-Qursi atau Surah Al-Baqarah : 255) ketika hendak tidur, dia akan dipelihara Allah dan syaitan tidak akan menghampirinya sehingga waktu pagi. [Al-Bukhari dalam Fathul Bari]

Sahih Muslim
1. Dari Al Bara’ bin Azib r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apabila engkau hendak tidur, maka berwudhuklah terlebih dahulu seperti wudhukmu untuk solat. Kemudian berbaringlah atas rusukmu yang kanan, kemudian berdoa :
(Terjemahan : Ya Allah, Aku tundukkan wajahku di hadapan-Mu. Ku serahkan segala urusanku kepada-Mu. Ku serahkan diriku kepada-Mu dengan penuh harap (akan pahala-Mu) dan takut akan siksa-Mu. Tidak ada tempat berlindung dan tempat melepaskan diri melainkan kepada-Mu jua. Aku iman dengan kitab-Mu yang Engkau turunkan dan dengan Nabi-Mu yang diutus).
Dan jangan berkata-kata lagi sesudah itu. Jika engkau mati malam itu, maka engkau mati dalam keadaan fitrah (suci). [2332]
Terdapat banyak lagi doa-doa yang dianjurkan tetapi satu sudah memadai dan ini lafaz yang terdapat berwudhuk terlebih dahulu sebelum tidur.

Sahih Abu Daud
1. Dari Naufal r.a : Nabi saw berkata kepadanya, “Bacalah (Surah Al-Kafiruun) kemudian tidurlah ketika sampai pada akhirnya (baca sehingga habis). Sesungguhnya itu ada pembebas dari perbuatan syirik.” [5055]

2. Dari Aisyah r.a katanya : Nabi saw apabila hendak beranjak ke tempat tidurnya setiap malam, beliau menyatukan kedua tapak tangannya lalu meniupkan keduanya dan membacakan keduanya Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas.
Kemudian beliau mengusap dengan keduanya bahagian mana sahaja semampunya. Beliau memulainya dari atas kepala dan wajahnya dan bahagian belakang dari badannya. Beliau melakukan perkara itu tiga kali.” [5056]

3. Dari Ubadah bin Somit r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa terbangun di sebahagian malam dan ia mengucapkan ketika ia terbangun;
Laa ilaha illallaah (Tiada tuhan selain Allah),
Wahdahu laa syariikalah (Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya),
Lahulmuluku wa lahulhamdu wa huwa ‘alaa kulli syai-ingg qadiir (Miliknya semua kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu),
Subhanallah, walhamdulillah, walaa ilaha illallaah, wallahuakbar,
Walaa ‘haula walaa quwwata illa billah (Tiada daya dan kekuatan melainkan hanya dengan Allah).
Kemudian ia berdoa, ‘Rabbighfirlii’ (Ya Rabb, ampunilah aku).
Al-Walid berkata, ‘Atau ia berkata, “Ia berdoa maka akan dikabulkan doanya. Apabila ia bangun dari tidurnya kemudian berwudhuk untuk solat, maka solatnya diterima.” [5060]

4. Dari Ali r.a : ....(Diringkaskan dimana Nabi saw berbicara kepada Aisyah r.a) “Mahukah kalian aku khabarkan sesuatu yang lebih baik dari yang kalian minta apabila kalian hendak beranjak tidur?
Bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali dan ucapkanlah Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan ucapkanlah takbir (Allahuakbar) 34 kali, itu semua lebih baik dari seorang pembantu.” [5062]

Sahih Ibnu Majah
1. Dari Aisyah r.a : Nabi saw jika hendak pergi ke tempat tidurnya, maka beliau akan meniupkan pada kedua telapak tangannya dan membaca surah al-Mu’awwidzatain (Surah Al-Falaq dan An-Nas), kemudian beliau usapkan badannya dengan kedua tangannya tersebut. [3138]

2. Dari Muadz bin Jabal r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah seorang hamba tidur di malam hari dalam keadaan suci, kemudian terbangun di tengah malam lalu ia memohon sesuatu kepada Allah dari perkara dunia mahupun perkara akhirat, nescaya akan diberikan kepadanya (dikabulkan permintaannya) itu.” [3145]

Sahih Nasa’i
1. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian bangun dari tidurnya lalu berwudhuk, maka hendaklah ia menghirup air ke dalam hidung lalu mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali kerana syaitan tinggal (bermalam) di dalam batang hidungnya.” [0090]

2. Dari Abdullah bin Abu Qais r.a, dia berkata : Aku bertanya kepada Aisyah, ‘Bagaimana Rasulullah saw tidur (adakah) dalam keadaan junub? Apakah beliau mandi sebelum tidur? Atau tidur sebelum mandi?
Aisyah menjawab, ‘Semua dilakukan oleh Rasulullah saw. Kadangkala beliau mandi dulu sebelum tidur dan kadangkala (hanya) berwudhuk lalu tidur.” [0402]
Tambahan : Jika Rasulullah saw dalam keadaan junub, jika beliau tidak mandi wajib beliau akan berwudhuk terlebih dahulu kemudian baru tidur.

3. Dari Abdullah bin Zaid bin Ashim, dia pernah melihat Rasulullah saw (tidur) terlentang di masjid dengan meletakkan salah satu kakinya di atas kaki yang lain. [0720]
Tambahan : Tiada masalah untuk tidur di dalam masjid, tetapi sangat menghairankan terdapat papantanda di beberapa masjid yang tertulis ‘Dilarang Tidur Dalam Masjid’. Mungkin ada sebab-sebab tertentu larangan itu tetapi ubahlah perkataannya agar tidak menyalahi sunnah Rasulullah saw. Contoh, ‘Hormatilah Masjid’ atau “Allah Melihat Apa Yang Kamu Kerjakan’ atau lain-lain yang tidak menyalahi sunnah.

4. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian tidur, maka syaitan mengikat tiga ikatan di atas kepalanya. Setiap ikatan diikat dengan berkata ‘Malam masih panjang, tidurlah’.
(a). Jika ia bangun lalu berzikir kepada Allah, maka lepaslah satu ikatan.
(b). Jika ia berwudhuk, maka lepaslah ikatan yang lainnya dan
(c). Jika ia mengerjakan solat maka lepaslah semua ikatannya (ikatan syaitan itu).
Sehingga pada pagi harinya (apabila bangun dari tidur) ia berjiwa lapang dan bersemangat. Sedangkan jika ia tidak melakukan hal tersebut (bangun malam lalu berzikir, berwudhuk dan solat) maka pada pagi harinya, jiwanya akan buruk dan malas.” [1606]
Dalam riwayat lain terdapat juga agar membangunkan juga isterinya, anak-anaknya, menantunya atau ahli keluarganya yang lain untuk solat malam.

Penutup
Ini hanya sedikit sahaja doa-doa dan amalan dari Rasulullah saw dan banyak lagi yang terdapat dalam hadis-hadis sahih yang lain. Sekiranya kita tidak mampu buat semua perkara di atas, janganlah pula kita meninggalkan semuanya. Berusahalah buat sekadar yang termampu.
Mengenai fadhilatnya, ada yang Rasulullah saw menjelaskannya dan ada pula tiada penjelasan mengenainya. Namun apa yang patut kita sedari adalah, fadhilat terbesarnya adalah pahala mengikut Rasulullah saw dan menjadi umat Nabi Muhammad saw yang mencintainya dan melaksanakan sunnahnya. Cukup firman Allah Subhana wa Ta’ala sebagai pedoman;

Terjemahan : Surah Al-Anfaal [8] : 24
24. Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu, ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.
Terjemahan : Surah An-Nisaa' [4] : 69

69. Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu : Nabi-nabi, para siddiiqiin (orang-orang yang jujur atau amanah), orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.
Perlu diingat, dalam beberapa riwayat terdapat hadis mengatakan, jika kita hendak tidur dan cuba untuk mengamalkan sunnah Rasulullah saw di atas, syaitan akan datang dan melekakan kita sehingga kita tertidur tanpa melaksanakan sunnah tersebut.

Wallahu’alam.

Sahih Tirmidzi



[[ Biografi ]]



[[ Bab Keperibadian Nabi Muhammad saw ]] 
Dinukil dari Kitab Syamail Muhammad S.A.W - Imam Al-Tirmidzi

Fizikal Rasulullah saw
1. Rasulullah saw memiliki perawakan yang sedang, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Tubuh beliau menarik. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim dan Ahmad)

2. Dari Anas ibnu Malik r.a : Rasulullah saw memiliki perawakan yang sedang, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Tubuh beliau menarik. Rambut beliau tidak terlalu kerinting dan tidak pula lurus tergerai. Warna kulit beliau berwarna coklat. Ketika berjalan, tubuh beliau saw tegap. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim dan Ahmad)

3. Al-Bara' ibnu Azib r.a : Saya belum pernah melihat seseorang yang hujung rambutnya menyentuh bahagian bawah telinganya serta mengenakan baju berwarna merah yang lebih gagah daripada Rasulullah saw. Rambut beliau saw separas bahu, tubuh di antara kedua bahunya lebar, dan postur beliau saw sederhana (tidak pendek dan tidak tinggi)."

Tanda Kenabian Rasulullah saw
4. Dari Jabir bin Samurah r.a : Saya melihat tanda kenabian di antara kedua bahu Rasulullah saw; iaitu daging berwarna merah sebesar telur burung merpati. (Riwayat Tirmidzi, Muslim dan Ahmad)

Rambut Rasulullah saw
5. Dari Anas ibnu Malik r.a : Panjang rambut Rasulullah saw sampai setengah telinga beliau saw. (Riwayat Tirmidzi, Muslim, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad)

6. Abdullah ibnu Mughaffal : Rasulullah saw melarang kami untuk merapikan rambut dengan berlebihan, kecuali hanya sesekali. (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad)

7. Dari Ibnu Abbas r.a : Abu Bakar r.a berkata kepada Rasulullah saw, "Wahai Rasulullah saw, anda telah beruban." Rasulullah saw bersabda, "Yang membuatku beruban adalah Surah Hud, Al-Waqiah, Al-Mursalat,An-Naba' dan At Takwir." (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Sa'd dan Hakim)

8. Dari Qatadah : Saya bertanya kepada Anas bin Malik r.a, "Apakah Rasulullah saw mewarnai rambutnya? Beliau menjawab, "Rasulullah saw tidak pernah melakukannya, meski pada kedua pelipisnya terdapat uban. Tetapi Abu Bakar r.a pernah mewarnai rambutnya dengan inai dan al-katm." (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Nasa'i, Ahmad dan Abu Dawud)

9. Dari Jabir bin Samurah : Jika Rasulullah saw memakai minyak rambut, uban beliau tidak terlihat. Tapi, ketika beliau sedang tidak memakai minyak rambut, nampaklah uban beliau. (Riwayat Tirmidzi, Muslim, Nasa'i dan Ahmad)

10. Utsman bin Mauhab : Abu Hurairah r.a pernah ditanya "Apakah Rasulullah saw mewarnai rambutnya?" Abu Hurairah r.a, mengiyakannya. (Riwayat Tirmidzi)

Bercelak
11. Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah saw memiliki sebuah bekas celak yang beliau saw gunakan untuk bercelak setiap malam, sebanyak tiga kali di sini (mata kanan) dan sebanyak tiga kali di sini (mata kiri). (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan Hakim)

12. Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah saw bersabda, "Alat celak yang paling baik bagi kalian adalah batu celak (al-itsmid) kerana hal itu dapat memperjelas penglihatan dan menumbuhkan bulu (mata)." (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Ibnu Majah, Nasa'i dan Ahmad)

Sandal/Selipar/Kasut
13. Dari Abu Hurairah r.a : Salah seorang dari kalian tidak boleh berjalan dengan menggunakan satu sandal (bukan sepasang). Hendaklah ia menggunakan atau melepaskan keduanya. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ahmad, Malik dan Ibnu Majah)

14. Dari Abu Hurairah r.a : Apabila salah seorang dari kalian menggunakan sandal, hendaklah ia memulai dari kaki kanan, dan ketika ia melepaskannya, hendaklah ia memulai dari kaki kiri. Jadikan kaki kanan sebagai kaki pertama ketika menggunakan sandal dan kaki terakhir ketika melepaskannya. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Dawud, Ahmad dan Humaidi)

Cincin
15. Dari Ibnu Umar : Rasulullah saw membuat cincin dari perak. Beliau saw memfungsikan cincin itu sebagai stempel (cop), bukan untuk digunakan. (Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

16. Dari Anas bin Malik : Ketika Rasulullah saw hendak mengirim surat kepada Raja Persia, Raja Romawi dan Raja Najasyi, beliau saw mendapatkan maklumat bahawa mereka tidak akan menerima surat yang tidak berstempel. Maka Rasulullah saw membuat cincin yang lingkarannya terbuat dari perak dan bertuliskan 'Muhammad Rasul Allah'. (Riwayat Tirmidzi dan Muslim)

17. Dari Ali bin Abi Thalib : Rasulullah saw mengenakan cincin di jari tangan kanan beliau saw. (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Nasa'i dan Ibnu Hibban)

Serban
18. Amr bin harits r.a : Sungguh, Rasulullah saw pernah berkhutbah di hadapan orang-orang dengan menggunakan serban hitam di kepala beliau. (Riwayat Tirmidzi, Muslim, Abu Dawud, Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad)

19. Ibnu Umar r.a : Ketika Rasulullah saw mengenakan serban, beliau saw menjulurkan serban itu di antara kedua bahu beliau. (Riwayat Tirmidzi dan Abu Syaikh)

Pakaian
20. Dari Abu Burdah : Aisyah r.anha menunjukkan sehelai pakaian yang kasar dan sebuah sarung yang tebal kepada kami, kemudian ia berkata, "Rasulullah saw wafat ketika mengenakan pakaian ini. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad dan Abu Syaikh)

Cara Berjalan
21. Dari Ali bin Abi Thalib : Apabila Rasulullah saw berjalan, tubuh beliau tegap, seperti sedang menuruni tanah yang landai. (Riwayat Tirmidzi dan Hakim)
  
Makanan
22. Dari Umar bin Khathab r.a : Rasulullah saw bersabda, "Makanlah minyak zaitun dan manfaatkanlah sebagai minyak. Sungguh, minyak zaitun berasal dari tumbuhan yang diberkati." (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim)

23. Dari Aisyah r.anha : Rasulullah saw menyukai manis-manisan dan madu. (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim Abu Dawud dan Ibnu Majah)

24. Dari Abdullah bin Harits r.a : Kami memakan daging bakar bersama Rasulullah saw di dalam masjid. (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad)

25. Dari Aisyah r.anha : Minuman yang paling disukai oleh Rasulullah saw adalah minuman yang manis dan dingin. (Riwayat Tirmidzi, Ahmad, Hakim dan Abu Syaikh)

Cara minum
26. Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah pernah meminum air zam-zam dengan berdiri (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)

27. Dari Abdullah ibnu Amr ibnu Ash r.a : Saya terkadang melihat Rasulullah saw minum dalam keadaan berdiri dan kadangkala dalam keadaan duduk. (Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

28. Dari Barra' ibnu Zaid ibnu Ibnati Anas ibnu Malik : Suatu ketika Rasulullah saw bertamu ke rumah Ummu Sulaim. Di sana ada qirbah (bekas air daripada kulit) yang sedang digantung. Beliau saw minum dari mulut qirbah itu dalam keadaan berdiri, kemudian Ummu Sulaim mengambil dan melepaskan qirbah itu (dari gantungan). (Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Darami)

Wangian
29. Dari Ibnu Umar r.a : Rasulullah saw bersabda, "Ada tiga pemberian yang tidak boleh ditolak, iaitu bantal, minyak wangi dan susu." ((Riwayat Tirmidzi, Abu Syaikh dan Baghawi) - Hadis Hasan

30. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Wewangian bagi lelaki adalah wangian yang keras, aromanya (bau) keras dan warnanya tidak nampak. Sedangkan wangian bagi perempuan adalah wangian yang warnanya nampak dan aromanya tidak menyengat (hidung)." (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad) 


Berbicara
31. Dari Anas ibnu Malik r.a : Rasulullah saw mengulangi perkataannya sebanyak tiga kali agar mudah difahami (oleh pendengarnya). (Riwayat Tirmidzi dan Hakim)


Bergurau
32. Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw pernah memanggilnya, "Wahai orang yang memiliki dua telinga!" (Riwayat Tirmidzi, Abu Dawud dan Ahmad) - Maksud hadis -Rasulullah bergurau begitu kerana Anas r.a pendengar yang baik.


Tidur
33. Dari Bara' bin Azib r.a : Ketika hendak tidur Rasulullah saw selalu meletakkan tangan kanan di bawah pipi kanan beliau dan berdoa 'Rabbi qiniy adzaabaka yama tab'a-tsu 'ibaadaka (Ya Rabb, lindungilah aku dari azab-Mu pada hari ketika engkau membangkitkan hamba-hambaMu |dari kubur|) (Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Nasa'i)

34. Dari Hudzaifah r.a : Setiap hendak tidur Rasulullah saw selalu berdoa (Ya Allah, dengan namaMu aku mati dan hidup). Dan setiap kali bangun tidur, beliau berdoa (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah sebelumnya mematikan kami dan kepadaNyalah (kami) dibangkitkan). (Riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Dawud dan Ibnu Majah dan Nasa'i)

Hadis No.1 hingga ke No.34 Dinukil dari Kitab Syamail Muhammad S.A.W - Imam Al-Tirmidzi, Hadis Berikutnya dari; 

Kitab Sahih Sunan Tirmidzi

Jilid 2

Jual Beli
1. Dari Jabir bin Abdullah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual-beli khamar (arak), bangkai, babi dan patung.” 

Ada orang bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat mu dengan lemak bangkai, sebab biasanya digunakan untuk mengecat kapal, meminyaki kulit dan bahan untuk menyalakan lampu?’

Rasulullah saw menjawab, “Tidak boleh. Ia juga haram.” Kemudian Nabi saw bersabda lagi, “Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi! Sesungguhnya Allah telah mengharamkan lemak atas mereka, namun mereka melebur atau mencairkannya (hingga tidak dikenal bahawa itu adalah lemak (namanya juga diubah) ), kemudian mereka jual dan mereka makan hasil penjualannya.” [1297]

2. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Janganlah kalian melakukan Najsy.” [1304]

Keterangan Hadis : An-Najsy dalam jual-beli bermaksud kesepakatan penjual dengan seseorang dalam menipu pembeli yang lain dalam tawar menawar sesuatu harga barang. Ia bertujuan agar pembeli itu menawar harga yang lebih tinggi.

Imam Asy-Syafi’i berkata; Perbuatan tersebut adalah berdosa, tetapi jual-beli itu sah.

Mengambil Kembali Pemberian
2. Dari Ibnu ‘Abbas r.a : Rasulullah saw bersabda, “Kami tidak memiliki contoh yang buruk; (Iaitu) orang yang mengambil kembali pemberiannya seperti anjing menjilat muntahnya sendiri.” [1298]

Riwayat lain dari Ibnu Umar r.a : Nabi saw bersabda, “Tidak halal bagi seseorang memberi suatu pemberian lalu ia mengambilnya kembali, kecuali orang tua (ibu bapa), dia boleh mengambil kembali apa yang telah diberikan kepada anaknya.

Hutang
4. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang memberi tempoh (kelonggaran waktu) pembayaran hutang kepada orang yang kesulitan atau membebaskannya, maka Allah akan menempatkannya di bawah naungan Arasy-Nya pada hari Kiamat nanti, (iaitu) hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.” [1306]

Perkongsian Tanah
5. Jabir bin Abdullah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang mempunyai hak kerana berkongsi pada sebidang kebun, maka dia tidak boleh menjual bahagiannya hingga dia menawarkannya terlebih dahulu kepada pemegang hak pengongsinya yang lain.” [1312]

Harga Barang Naik
6. Dari Anas r.a, ia berkata : Pada masa Rasulullah saw, harga bahan-bahan pokok naik, maka para sahabat berkata kepada Rasulullah saw, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga barang untuk kami.’ 

Rasulullah saw menjawab, “Sesungguhnya hanya Allah yang berhak menetapkan harga, Maha Menyempitkan, Maha Melapangkan dan Maha Pemberi Rezeki, dan aku berharap, ketika aku berjumpa dengan Tuhan ku, tidak ada seseorang pun dari kalian yang menuntut (kepada) ku kerana sesuatu tindakan zalim baik yang menyangkut darah mahupun harta.” (Hasan Sahih) [1314]

Perdamaian Antara Manusia
7. Dari Katsir bin Abdullah bin Amr bin Auf Al-Muzani menceritakan dari bapanya, dari datuknya : Rasulullah saw bersabda, “Perdamaian antara kaum muslimin adalah boleh, KECUALI perdamaian yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. Kaum muslimin harus melaksanakan syarat yang mereka tetapkan, kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.” [1352]

Menanam Tanaman
8. Dari Anas r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah seorang muslim menanam sebuah pohon atau menanam sebuah tanaman lalu pohon atau tanaman itu dimakan oleh manusia, burung atau binatang, kecuali hal itu menjadi pahala sedekah untuknya.” [1382]

Diyat (Tebusan)
9. Dari Amr bin Syuaib dari bapanya, dari datuknya : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka putusannya diserahkan kepada wali yang terbunuh. Jika mahu mereka boleh membunuhnya (dengan cara qisas) dan jika mahu mereka juga boleh meminta diyat, iaitu tiga puluh unta hiqqah (unta yang berusia empat tahun), tiga puluh unta jadza’ah (unta yang berusia lima tahun) dan empat puluh kholifah (unta yang sudah bunting). Kalaupun ada kesepakatan damai, maka hal itu terserah pada mereka.” Hadis Hasan. [1387]

Hanya TIGA perkara yang MEMBOLEHKAN Menumpahkan Darah Seorang Muslim
10. Dari Abdullah bin Mas’ud r.a : Rasulullah saw pernah bersabda, “Tidak halal menumpahkan darah seorang Muslim yang bersaksi tidak ada sesembahan selain Allah dan aku (Nabi saw) adalah utusan Allah KECUALI kerana salah satu dari tiga perkara;
(a). Penzina yang sudah bernikah (rejam),
(b). Kerana membunuh jiwa (qisas),
(c). dan orang yang meninggalkan agama (murtad) dan keluar dari jemaah kaum Muslimin.” [1402]

Larangan Membunuh Orang Bukan Islam
11. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Ketahuilah, barangsiapa yang membunuh kafir yang terikat perjanjian damai dengan kaum Muslimin yang memiliki jaminan Allah dan jaminan Rasul-Nya, maka sesungguhnya orang tersebut telah telah merosak jaminan Allah.

Kerana itu, ia (orang yang membunuh) tidak akan dapat mencium aroma syurga, padahal aroma syurga itu tercium dari jarak perjalanan tujuh puluh tahun.” [1403]

12. Dari Sa’id bin Zaid bin Amr bin Nufail r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang terbunuh kerana membela (mempertahankan) hartanya, maka ia adalah syahid; dan barangsiapa yang mengambil tanah walaupun hanya sejengkal nescaya tujuh lapis bumi akan dikalungkan kepadanya pada hari kiamat nanti.” [1418]

Tambahan Blog : Salah satu kemukjizatan Nabi Muhammad Saw, adalah mengetahui bumi mempunyai tujuh lapisan.


13. Dari Sa’id bin Zaid r.a : Rasulullah saw bersabda :
(1). “Barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka ia adalah syahid,
(2). Barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya, maka ia adalah syahid,
(3). Barangsiapa yang terbunuh kerana membela darahnya (dirinya), maka ia adalah syahid dan;
(4) Barangsiapa yang terbunuh kerana membela keluarganya, maka ia adalah syahid.” [1421] 

Menutup Aib Orang Muslim
14. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang melepaskan kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah akan melepaskan kesusahannya dari kesusahan-kesusahan akhirat,

Dan barangsiapa yang menutupi (aib) orang Muslim, maka Allah akan menutupi (aib)nya di dunia dan di akhirat. Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut mahu menolong saudaranya (sesama Islam).” [1425]

Larangan Memakan Daging Binatang yang Bertaring dan Cakar
15. Dari Abu Tsa’labah Al-Khusyani r.a, berkata : Rasulullah saw melarang (makan daging) binatang yang mempunyai taring dari jenis binatang buas. [1477]

16. Dari Jabir r.a, ia berkata : Rasulullah saw mengharamkan (memakan) – ketika Perang Khaibar – keldai (jinak), daging baghal, segala binatang buas yang mempunyai taring dan burung yang mempunyai cakar. [1478]

17. Dari Abu Hurairah r.a : Sesungguhnya Rasulullah saw telah mengharamkan segala binatang buas yang mempunyai taring. [1479]

Nazar
18. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Janganlah kalian bernazar, kerana sesungguhnya nazar itu sama sekali tidak boleh mengubah atau menolak takdir. Nazar itu hanya berfungsi mengeluarkan harta dari orang yang bakhil.” [1538]

Perjalanan Hidup Rasulullah SAW
19. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Aku telah diutamakan atas para Nabi (yang lain) dengan enam perkara;
1. Aku diberi Jawami’ al-Kalim (Hikmah atau kebijaksanaan dalam mengeluarkan perkataan yang singkat, tetapi mencakupi makna yang luas),
2. Aku ditolong dengan memberikan rasa takut dalam diri musuh,
3. Harta rampasan perang dihalalkan untuk ku,
4. Tanah dijadikan sebagai masjid dan alat bersuci untuk ku, dan
(5). Aku diutus kepada seluruh makhluk dan (6) para Nabi ditutup oleh diri ku.” [1553]

20. Dari Al-Harits bin Malik r.a, ia berkata : Aku mendengar Nabi saw bersabda pada hari penaklukan kota Makkah, “Tidak akan diperangi (kota) ini setelah hari (ini) sampai hari kiamat kelak.” [1611]

21. Dari Anas r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidak ada Adwa (penyakit yang berjangkit tanpa kehendak Allah), tidak ada Thiyarah (nasib sial) dan aku menyukai Fa’l.”
Para sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah, apakah fa’l itu?’ Rasulullah saw menjawab, “Perkataan yang baik.” [1615]

Jihad
22. Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata : Ditanyakan kepada Rasulullah (saw), ‘Ya Rasulullah, apa yang dapat menyamai (pahala) Jihad? Rasulullah saw menjawab, “Sesungguhnya kalian tidak akan mampu melakukannya.”

Para sahabat mengulangi pertanyaan itu dua atau tiga kali. (Namun untuk) masing-masing pertanyaan Beliau (saw) bersabda, “Sesungguhnya kalian tidak akan mampu melakukannya.”

Rasulullah saw kemudian bersabda pada kali yang ketiga, “Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang yang beribadah (pada malam hari) dan berpuasa (di siang hari) tanpa merasa penat melaksanakan solat atau puasa sampai orang yang berjihad itu kembali.” [1619]

23. Dari Anas r.a : Rasulullah saw bersabda, (Allah berfirman) : “Orang yang berjihad di jalan Allah itu menjadi tanggungjawab-Ku. Jika Aku mencabut nyawanya, maka aku akan mewariskan syurga kepadanya. Jika Aku mengembalikannya, maka Aku akan mengembalikannya dengan membawa pahala atau ghanimah (harta rampasan perang).” [1620]

24. Dari Fadhalah bin Ubaid r.a : Rasulullah saw bersabda, “Setiap orang yang meninggal dunia itu ditanda sesuai dengan amal perbuatannya, kecuali orang yang meninggal dalam keadaan menjaga (dari serangan musuh) di jalan Allah. Sesungguhnya amal perbuatannya akan dikembangkan untuknya sampai hari kiamat dan ia akan diselamatkan dari fitnah (siksa) kubur.” [1621]

Keutamaan Puasa
25. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka selama perjalanan tujuh puluh tahun.” [1622]

Keutamaan Infak
26. Dari Khuraim bin Fatik r.a (ada riwayat lain dari Abu Hurairah r.a) : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang menginfakkan suatu nafkah di jalan Allah, akan ditulis untuknya (pahala) tujuh ratus kali ganda.” [1625]

Kelebihan ‘Mata’
27. Dari Ibnu Abbas r.a : Rasulullah saw bersabda, “Dua mata yang tidak akan tersentuh oleh (api) neraka;

(a). Mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan

(b). Mata yang tidak terpejam kerana berjaga-jaga di jalan Allah (orang yang menjaga di perbatasan).” [1639]

Berdoa Mati Syahid
28. Dari Abdurrahman bin Syuraih r.a (ada riwayat lain dari Mu’adz bin Jabal r.a) : Nabi saw bersabda, “Barangsiapa yang meminta mati syahid kepada Allah dari dalam hatinya secara jujur, maka Allah akan menyampaikannya ke darjat orang-orang yang mati syahid, walaupun ia meninggal dia atas tempat tidurnya.” [1653]

Pahala Orang Mati Syahid
29. Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidak (ada) seorang hamba (pun) dari penduduk syurga yang ingin kembali ke dunia kecuali orang mati syahid. Sesungguhnya ia ingin kembali ke dunia. Ia berkata ‘Supaya aku dapat dibunuh sepuluh kali (lagi) di jalan Allah’. Ini kerana ia telah melihat kemuliaan yang diberikan kepadanya (atas sebab syahidnya dia ketika di dunia).” [1661]

30. Dari Al-Miqdam bin Ma’di Karib r.a : Rasulullah saw bersabda, “Bagi orang yang mati syahid itu (di sisi Allah) ada enam (balasan atau ganjaran):

(a). Akan diampuni baginya (dosa-dosa) sejak pertama kali percikan darah(nya keluar),

(b). Ia akan melihat tempatnya di syurga,
(c). Ia akan diselamatkan dari siksa kubur dan kedahsyatan besar (pada hari kiamat),

(d). Akan diletakkan di atas kepalanya mahkota kewibawaan, satu yakut (permata) pada mahkota tersebut lebih baik dari dunia dan apa yang ada di dalamnya,

(e). Ia akan dikahwinkan dengan tujuh puluh dua isteri yang berupa (dari jenis) bidadari, dan

(f). Ia akan diterima syafaatnya untuk tujuh puluh orang keluarganya.” [1663]