Friday 7 February 2014

RENUNGAN HIKMAH

Dosa itu penyakit dan istighfar itu ubatnya

“Qatadah berkata, “Al-Quran memberi petunjuk kepada kamu tentang mana penyakit dan mana ubat bagi kamu semua. Adapun penyakit kamu semua adalah dosa, sedangkan ubatnya adalah beristighfar.”


Hati orang mukmin

“Hati orang mukmin itu bersih seperti cermin, tidak akan didatangi oleh syaitan dengan sesuatu (kejahatan) kecuali hati itu dapat melihatnya.” ~ Ibrahim bin Adham


Umur dan dosa

Abu Bakar al-Katani r.a. menceritakan bahawa ada seorang mengira sendiri kejahatannya. Pada suatu hari,  ia mengira tentang umurnya. Ia dapati umurnya enam puluh tahun. Ia mengira berapa hari umurnya itu, maka ia dapati umurnya sebanyak 21,240 hari. Tiba-tiba ia memekik sekuat-kuatnya lalu pengsan tanpa sedarkan diri. Apabila ia telah sedar maka ia berkata: “Alangkah ruginya, aku datang menemui Tuhan dengan membawa sebanyak 21,240 dosa. Ini pun jika aku melakukan satu dosa sahaja setiap hari. Bagaimana jika aku melakukan berbagai dosa yang tidak terkira setiap hari?”
Kemudian ia mengeluh panjang; “Aku sendiri yang salah dan bertanggung-jawab. Aku telah membangunkan dan memajukan duniaku tetapi aku meruntuhkan akhiratku. Aku telah menentang pelindungku, Allah Yang Maha Mengurnia. Kemudian aku sangat benci untuk berpindah dari kemajuan kepada kehancuran. Bagaimana aku akan datang di hari mengira amalan yang tercatit di dalam kitab catitan amal dan bagaimana aku menghadapi azab itu tanpa amal soleh dan pahala?”
Kemudian iapun menjerit sekuat-kutanya lalu jatuh ke bumi. Apabila orang ramai cuba menolongnya didapati ia telah mati. Semoga Allah memberi rahmat ke atasnya.
~ Petikan buku Membentuk Jiwa Sufi (Dr. Hj. Jahid Hj. Sidek)


Ulama terhijab dengan ilmunya

“Orang yang paling banyak terhijab (dari pelbagai ilmu yang lebih baik) ialah ulama, Maha Suci Allah SWT yang menghijab ulama dengan ilmu mereka sendiri.” 
~ petikan buku Membentuk Jiwa Sufi





Peringkat Taubat

Mengikut pandangan Syeikh al-Hujwiri, taubat itu ada 3 peringkat, iaitu at-tawbah, al-inabah dan al-awbah. At-tawbah ialah taubat orang awam mukmin dari dosa-dosa besar. At-tawbah ialah penyesalan dan kembali dari dosa besar kepada ketaatan. Orang yang bertaubat di peringkat inilah yang dikenali sebagai “taib”. Al-inabah ialah taubat golongan awliya dan al-muqarrabin. Al-inabah ialah penyesalan dan kembali dari dosa kecil kepada perkara yang disukai oleh Allah. Orang yang bertaubat di peringkat ini dikenali sebagai “munib”. Al-awbah ialah taubat para nabi dan para rasul. Al-awbah ialah penyesalan dan kembali dari memandang diri kepada Allah semata-mata. Orang yang bertaubat di peringkat ini dikenali sebagai “awab”  ~  Petikan Buku Membentuk Jiwa Sufi




Segeralah bertaubat

Imam al-Ghazali berkata: “Sesiapa yang tidak segera bertaubat dengan melambat-lambatkannya, ia berada di antara dua bahaya besar: Pertama, kegelapan maksiat itu akan bertompok-tompok di dalam hatinya hingga jadilah ia sebagai dinding yang menghalang, yang sangat keras, yang tidak boleh dihapuskan. Kedua, jika ia segera sakit atau mati, maka ia tidak dapat peluang dan masa untuk berusaha menghapuskan kegelapan dosa itu.”
Kebanyakan keluhan ahli neraka ialah disebabkan sifat berlambat 
lambat/berlengah-lengah tersebut dan kebanyakan jeritan mereka ialah: “Hai celakanya orang yang melambat-lambatkan. Tidaklah binasa (masuk neraka) orang yang binasa itu kecuali dengan bertangguh-tangguh dan tidaklah berjaya orang yang berjaya (masuk syurga) itu kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera (qalbun salim).”
~ petikan buku Membentuk Jiwa Sufi




Bahagian anggota batin

“Kejadian manusia terbahagi kpd 2 bahagian iaitu zahir dan batin. Anggota batin atau basirah (mata hati/ pandangan hati/pandangan hati) secara ringkasnya pula terdiri drp 3 iaitu qalbun (hati), ruhun (ruh) dan sirrun (lubuk hati). Hati (qalbun) fungsinya untuk memahami ilmu, terutamanya yg sukar diterima oleh akal. Ruh untuk musyahadah, dan Sirr pula untuk menerima dan menyimpan tajalli (Nur Wujud Allah).” ~ Petikan buku Membentuk Jiwa Sufi



Syariat, Tariqat dan Haqiqat

“Imam Malik r.a. pernah berkata:
(Ertinya): “Siapa yang (beramal) dengan fiqah tanpa tasawuf maka ia jadi fasik, siapa yang bertasawuf sahaja tanpa fiqah maka ia jadi zindik, dan siapa yang telah (beramal) dengan memadukan kedua-duanya maka ia telah sampai kepada hakikat.”
tasbih
Al-Syariah itu adalah seperti kapal laut, iaitu menjadi sebab yang membawa kepada tercapainya maksud dan selamat daripada kebinasaan. Al-Tariqah pula seperti lautan yang terdapat di dalamnya berbagai bahaya yang menjadi tempat yang (mesti dituju dan dilalui) untuk sampai kepada maksud. Al-Haqiqah pula adalah seperti butir mutiara yang sangat berharga yang tidak tercapai kecuali di dalam lautan. Tentulah tidak boleh (lalu) di lautan itu kecuali dengan kapal laut. Maka, sesiapa yang melihat (dan merasakan) semua haqiqat sesuatu itu secara “billah” atau dengan kehendak, daya dan kekuasaan Allah SWT semata-mata, tahulah ia bahawa al-syariah dan al-haqiqah itu adalah sentiasa berkait rapat antara satu sama lain, seperti air bagi pokok dan ruh bagi jasad. Al-syariah adalah pokok, al-tariqah adalah dahan-dahannya, dan al-haqiqah adalah buah-buahnya. ~ Petikan Buku Membentuk Jiwa Sufi





Jenis-jenis Ayat Allah SWT

“Ayat-ayat Allah SWT ada 3 jenis, iaitu (1) ayat-ayat yang dibaca (al-ayat al- matluwah) iaitu ayat-ayat Al-Quran; (2) ayat-ayat yang dilihat dengan mata kepala (mata kasar) (al-ayat al-Mariyah); (3) ayat-ayat yang dilihat dan disaksikan oleh ruh atau mata hati atau basirah (al-ayat al-Mashhudah). Secara ringkasnya, ayat-ayat Allah SWT merangkumi syariat dan hakikat.” 
~ Petikan buku Membentuk Jiwa Sufi





Hakikat iman

“Baginda Rasulullah SAW bertanya kepada Harithah bin Malik : “Ya Harithah, sesungguhnya tiap-tiap ucapan ada hakikatnya, maka apakah hakikat ucapan engkau bahawa engkau beriman dengan sebenar-benarnya?”
Harithah menjawab: “Ya Rasulullah, nafsuku lari dari dunia, malam aku berjaga, siang aku berpuasa sehingga seolah-olah aku nampak penduduk syurga sedang menikmati berbagai kesenangan dan aku juga nampak penghuni neraka yang sedang meraung penuh azab.” 
~ petikan buku Membentuk Jiwa Sufi






No comments:

Post a Comment