Sunday 20 April 2014

TINGKATAN SOLAT

Waktu itu solat akan dikategorikan pada lima tingkat: 

1.  Solat orang jahil.
2.  Solat orang lalai.
3.  Solat orang yang setengah lalai setengah khusyuk.
4.  Solat orang khusyuk.
5.  Solat Nabi-Nabi dan Rasul.


Solat orang jahil ialah solat yang dilakukan oleh orang yang tidak memiliki ilmu tentang solat. Dia tidak tahu tentang rukun dan sunat dalam solat serta solat tanpa peraturan yang telah ditetapkan syariat. Kerana itu sejak awal solatnya tidak diterima bahkan ia berdosa kerana tidak belajar tentang ilmu solat.


Solat orang lalai ialah solat yang walaupun sempurna lahirnya tetapi hatinya sama sekali tidak ikut dalam solat. Bermacam-macam hal yang diingat sewaktu berdiri, rukuk, sujud dan duduk dalam solat itu. Dari awal hingga akhir solatnya, sedikit pun tidak ingat Allah. Solat seperti itu akan dianggap sebagai dosa bukannya mendapat pahala. Allah berfirman:


Terjemahannya: Neraka Wail bagi orang yang solat. Yang mereka itu lalai dalam solatnya.
(Al Maa’un: 45)

Solat yang ketiga ialah solat yang di dalamnya terjadi tarik-menarik dengan syaitan. Ertinya orang itu selalu merasakan  bila syaitan mulai membuat dirinya lalai dari mengingat Allah. Cepat-cepat dikembalikan ingatannya pada Allah. Begitulah seterusnya terjadi hingga akhir solat. Ada waktu lalai dan ada waktu khusyuk. Solat seperti itu tidak berdosa dan tidak juga berpahala, tetapi dimaafkan oleh Allah.


Solat orang khusyuk ialah solat orang yang terus mengingat Allah di sepanjang solatnya serta memahami apa yang dibacanya dalam solat. Orang itu dapat merasakan bahwa dia sedang mengadap Allah. Perhatiannya hanya kepada Allah. Bagi orang tersebut, solatnya bererti menunaikan janji kepada Allah, memohon ampun kepada Allah, mengharap kepada Allah, menghina diri kepada Allah dan mengagungkan Allah.


Solat seperti itulah yang akan menghapuskan dosa, memperbaharui ikrar (yang pernah diucapkan di alam roh), menguatkan iman, mendekatkan hati kita kepada Allah, meningkatkan taqwa dan mengelakkan diri dari perbuatan keji dan mungkar. Itulah keuntungan di dunia. Dan di akhirat Allah akan menganugerahkan pahala syurga yang penuh kenikmatan.


Solat yang kelima ialah tingkat tertinggi iaitu solat para Nabi dan Rasul. Mereka itu khusyuknya luar biasa. Mereka benar-benar melihat Allah dengan mata hati. Dalam solat, mereka seakan-akan sedang bercakap-cakap dengan Allah. Sebab itu mereka tidak pernah jemu melakukan solat. Sebagaimana indahnya perasaaan hati orang yang dapat bertemu kekasihnya, begitulah indahnya perasaan mereka itu dalam solat.


Salah satu perkara utama yang disukai oleh Rasulullah SAW adalah shalat. "Solat penyejuk mataku," sabda Rasulullah. Syurga yang akan Allah anugerahkan pada mereka adalah syurga tertinggi yang tidak dapat dicapai oleh orang-orang awam seperti kita.


Jadi tugas kita sekarang ialah memperbaiki solat kita sekaligus memperbanyakkannya. Untuk itu sekali lagi kita mesti mujahadah. Hanya dengan mujahadah kita dapat meningkatkan iman dan memperbanyak amal soleh. Serta hanya dengan iman dan amal soleh saja  kita akan dapat membangun dan menghias rumah kita di akhirat nanti.

No comments:

Post a Comment