Tuesday 30 July 2013

AL-ISTI'DAD LIL IMAM IBN HAJAR

Daripada Abi Hurairah r.anh, sabda Nabi SAW:
"Tujuh golongan yang akan dinaungi Allah pada hari kiamat di bawah lindungan arasyNya di hari di mana tiada naungan selain naunganNya.
1.            Pemimpin yang adil,
2.            Pemuda yang membesar di dalam beribadah kepada Allah,
3.            Seorang lelaki yang mengingati Allah bersendirian lantas bergenang air matanya kerana takutkan Allah,
4.            Seorang lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid sehingga ia kembali padanya,
5.            Seorang lelaki yang bersedekah dengan satu sedekah yang mana tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat oleh tangan kanannya (bersedekah secara rahsia),
6.            Dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah,
7.            Dan seorang lelaki yang digoda oleh seorang perempuan yang cantik agar berzina dengannya, lalu ia enggan sambil berkata; “Aku takutkan Allah”!."

Abu Bakr As-Siddiq r.anh berkata: "Si bakhil tidak akan terlepas daripada tujuh keadaan.
1.                  Samaada ia akan mati, lalu warisnya kan menghabiskan harta itu pada jalan yang tidak diperintahkan Allah (maksiat);
2.            Atau penguasa yang zalim akan merampas hartanya setelah menghinakannya;
3.            Atau syahwatnya akan mengajaknya menghabiskan harta itu;
4.            Atau ia akan terfikir untuk membina bangunan atau binaan yang akan runtuh sehingga menghancurkan hartanya (yang dilaburkan untuk membinanya);
5.            Ataupun ia akan ditimpa sesuatu daripada musibah di dunia seumpama karam, terbakar, kecurian dan yang semisalnya;
6.            Atau ia tertimpa sesuatu sebab (seperti penyakit contohnya) yang berterusan yang mengakibatkan ia terpaksa membelanjakan hartanya bagi mengubati penyakit itu;
7.            Atau ia menyimpannya pada satu tempat lalu ia lupa sehingga ia tidak mendapatinya lagi".


Berkata Umar r.anh:
1.            "Sesiapa yang banyak ketawa kuranglah wibawanya;
2.            Sesiapa yang meremehkan manusia dia akan diremehkan;
3.            Sesiapa yang menekuni sesuatu ia akan dikenali dengannya;
4.            Sesiapa yang banyak cakapnya banyaklah salahnya;
5.            Sesiapa yang banyak salahnya kuranglah malunya;
6.            Sesiapa yang kurang malunya kuranglah pula wara’nya; dan
7.            Barangsiapa yang kurang wara’nya matilah hatinya".


Utsman r.anh berkata tentang firman Allah: “Dan di bawah dinding itu ada harta terpendam untuk kedua anak yatim tersebut, yang mana ibu bapa keduanya adalah orang baik-baik” –Surah Al-Kahf-.
Katanya: "Harta terpendam itu adalah satu papan tulis daripada emas yang tertulis padanya tujuh baris ungkapan.
1.            Pertamanya; "Aku merasa hairan kepada seorang yang mengetahui mati (itu akan mendatanginya) sedangkan ia masih tertawa".
2.            "Aku merasa hairan kepada seorang yang mengetahui bahawa dunia itu fana’ namun ia masih gemarkannya,
3.            "Aku kehairanan denga seorang yang mengetahui bahawa segala urusan itu telah ditentukan, namun ia masih lagi memperbanyakkan barang yang akan hilang (binasa)".
4.            "Aku sangat hairan dengan seorang yang mengetahui adanya hisab namun ia masih mengumpulkan harta,
5.            "Aku merasa ta’ajub dengan seorang yang mengetahui neraka, namun ia masih melakukan dosa,
6.            "Aku merasa pelik dengan seorang yang mengetahui dan meyakini Allah namun ia masih mengingati yang lain (selain Allah);
7.            "Aku juga merasa aneh dengan seorang yang meyakini syurga namun ia masih bersenang-senang dengan dunia; dan
8.            "Aku juga merasa hairan dengan seorang yang mengetahui bahawa syaitan itu musuhnya namun ia masih lagi mentaatinya".

Ali r.anh ditanya: "Apakah yang lebih berat daripada langit, lebih luas daripada bumi, lebih kaya daripada laut, lebih keras daripada batu, lebih panas daripada api, lebih sejuk daripada kaca dan lebih pahit daripada racun?"
Jawab beliau:
1.                  "Membuat fitnah / tuduhan dusta (buhtaan) ke atas orang yang tidak melakukannya itu lebih berat daripada langit;
2.            kebenaran itu lebih luas daripada bumi;
3.            hati orang yang qana’ah (merasa cukup) itu lebih kaya daripada lautan;
4.            hati orang munafik itu lebih keras daripada batu;
5.            penguasa yang zalim lebih panas daripada api;
6.            berhajat kepada orang yang hina itu lebih sejuk daripada kaca, dan
7.            kesabaran itu lebih pahit daripada racun. [dikatakan juga mengadu domba (namimah) lebih pahit daripada racun]".

Sabda Nabi SAW: "Dunia adalah rumah bagi orang yang tiada rumah, harta bagi orang yang tidak punya harta, kerana ialah orang yang tidak berakal mengumpulkannya serta bergelumang dengan kesenangannya orang yang tidak memahami,…
Sampai di sini ada sehelai mukasurat yang kosong tidak bercetak

Daripada Jabir bin Abdillah Al-Anshori r.anh, daripada Nabi SAW sabdanya:
1.            "Sentiasalah Jibril mengingatkanku perihal jiran sehingga aku menyangka jiran itu boleh mewarisi harta,
2.            sentiasalah juga Jibril memperingatkan aku perihal wanita sehingga aku menyangka akan diharamkan menceraikan mereka;
3.            amatlah seringnya Jibril berpesan kepadaku perihal hamba sahaya sehinggakan aku menyangka akan ditentukan batas waktu untuk membebaskan mereka;
4.            dan sentiasalah Jibril memperingatkan daku tentang bersiwak sehinga aku menyangka bahawa ia akan difardhukan;
5.            sentiasalah Jibrl memperingatkanku tentang solat berjemaah sehingga aku menyangka bahawa Allah tidak akan menerima solat selain yang dilakukan secara berjemaah;
6.            sentiasalah Jibril memperingatkan daku tentang qiyamullail sehingga aku menyangka tidak boleh tidur pada waktu malam; dan
7.            sentiasalah Jibril memperingatkan daku tentang zikrullah sehingga aku menyangka tidak akan berguna perkataan melainkan dengannya".

Sabda Nabi SAW: "Tujuh golongan yang tidak akan dilihat oleh Allah pada hari kiamat, dan tidak akan disucikan mereka serta akan dimasukkan ke dalam neraka:
1.            Orang yang melakukan (liwat) dan dilakukan (liwat) kepadanya,
2.            orang yang menikahi tangannya (onani/masturbasi),
3.            orang yang menyetubuhi binatang,
4.            orang yang mendatangi isterinya melalui duburnya,
5.            orang yang menikahi seorang perempuan dan anak perempuan tersebut,
6.            orang yang berzina dengan jirannya; dan
7.            orang yang menyakiti jirannya sehingga jirannya melaknatnya".

Bersabda Nabi SAW: "Enam perkara akan menjadi janggal dan aneh pada enam tempat.
1.                  Masjid akan menjadi asing pada suatu kaum yang tidak bersolat padanya,
2.            Mushaf (Al Quran) akan menjadi asing pada sebuah rumah yang tidak dibacakan Al Quran padanya,
3.            Al Quran (yang dihafal) akan menjadi asing di dalam dada orang yang fasik,
4.            Perempuan muslimah yang solehah akan menjadi janggal di bawah jagaan suaminya yang zalim lagi buruk akhlaknya,
5.            Lelaki muslim yang soleh akan menjadi asing memiliki isteri yang jelek dan buruk akhlaknya,
6.            Seorang alim akan menjadi aneh di kalangan kaum yang tidak mahu mendengar kata-kata nasihatnya.
Kemudian Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak akan memandang kepada mereka itu dengan pandangan RahmatNya pada hari kiamat kelak!"

Sabda Nabi SAW: "Enam golongan yang aku melaknat mereka serta turut dilaknat oleh Allah; dan setiap Nabi itu diterima doa mereka.
1.            Orang yang menambah-nambah di dalam Kitab Allah,
2.            Tali barut penguasa yang zalim
3.            (Orang) yang memuliakan sesiapa yang dihina Allah
4.            serta menghinakan sesiapa yang dimuliakan Allah,
5.            Orang yang menghalalkan dari keluargaku apa yang diharamkan Allah, dan
6.            Orang yang meninggalkan Sunnahku. Sesungguhnya mereka itu tidak akan dipandang oleh Allah dengan pandangan RahmatNya pada hari kiamat.

Berkata Abu Bakr As Siddiq r.anh: "Sesungguhnya iblis berdiri di hadapanmu, nafsu di kananmu, keinginan di kirimu, dunia di belakangmu, anggota badan di sekelilingmu dan Allah yang Maha Perkasa di atasmu dengan kekuasaanNya.
Iblis la’natullah akan mengajakmu meninggalkan agama, nafsu mendorongmu melakukan maksiat, keinginan menyuruhmu kepada syahwat,dunia menggodamu agar memilihnya berbanding akhirat, anggota badan menghasutmu melakukan dosa, sementara Allah yang Maha Perkasa sentiasa menyerumu kepada syurga dan keampunanNya.
Sesiapa yang mengikut ajakan iblis hilanglah agamanya, sesiapa yang terdorong mengikuti nafsu hilanglah ruhnya, sesiapa yang menerima arahan keinginannya hilanglah akalnya, sesiapa yang tergoda dengan dunia hilanglah akhiratnya, sesiapa yang termakan hasutan anggota badannya akan hilanglah darinya syurga dan barangsiapa yang menyahut seruan Allah akan hilanglah darinya segala kejahatan dan akan beroleh segala kebaikan yang tidak terhingga.

Umar r.anh berkata; "Allah menyembunyikan enam perkara pada enam perkara;
1.            Dia menyembunyikan redhoNya dalam amal ketaatan,
2.            Ia menyembunyikan murkaNya dalam kemaksiatan,
3.            Ia merahsiakan NamaNya yang teragung di dalam Al-Quran,
4.            Ia merahsiakan Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan,
5.            Ia menyembunyikan Solatul Wustho dalam solat lima waktu, dan
6.            Ia merahsiakan kiamat dalam hari-hari yang mendatang.

Kata Utsman r.anh: "Sesungguhnya seorang mukmin itu sentiasa berada di dalam enam ketakutan;
1.            Takut-takut seandainya Allah mencabut iman daripadanya;
2.            Takut-takut malaikat hafazah (pencatat amal) akan mencatat amal yang boleh memalukannya di hari kiamat kelak;
3.            Takut-takut syaitan akan menghapuskan amalannya,
4.            Takutkan malaikat maut yang mungkin akan mencabut nyawanya dalam keadaan ia sedang lengah (kelalaian);
5.            Takut akan dunia yang menipunya dan menyibukkannya daripada akhirat; dan
6.            Takut-takut ahli keluarganya menjadikannya sibuk sehingga menyibukkannya daripada mengingati Allah.

Ali r.anh berkata: "Sesiapa yang menghimpunkan enam perkara pada dirinya pasti akan menjadikan syurga harapannya dan neraka ketakutannya.
1.            Sesiapa yang mengenali Allah lalu mentaatiNya;
2.            Ia mengenali syaitan lalu membantahnya,
3.            Ia mengenal akhirat lalu ia berusaha meraihnya,
4.            Ia mengenali dunia (tipuannya) maka ia menolaknya;
5.            Ia mengenali kebenaran lalu mengikutinya,
6.            Ia mengenali kebatilan lantas menjauhinya.

Kata Ali r.anh lagi: "Ni’mat itu ada enam: Islam, Al-Quran, Nabi Muhammad SAW, ke’afiatan (kesihatan dan kesejahteraan), tutupan (Allah menutup aibnya) dan merasa cukup daripada manusia (tidak berharap kepada mereka)".

Yahya bin Muadz Ar Razi r.h berkata: "Ilmu itu petunjuk bagi amal, kefahaman itu memelihara ilmu, akal itu pemandu ke arah kebaikan, keinginan hawa nafsu itu tunggangan dosa, harta itu selendang orang yang sombong, dan dunia itu pasar akhirat".

Abu Dzarr Jimhar berkata: "Enam hal yang menyamai seluruh kenikmatan dunia. Makanan yang lazat, anak yang soleh, isteri yang tidak membantah, percakapan yang berhikmah, akal yang sempurna dan badan yang sihat".

Kata Hassan Al-Basri r.h:
1.            "Kalaulah tidak kerana para abdal (wali-wali Allah) pastilah akan ditenggelamkan bumi dan seisinya.
2.            Kalaulah tidak kerana para solehin, binasalah mereka yang menderhaka.
3.            Kalaulah tidak kerana para ulama, jadilah manusia itu seumpama binatang ternak.
4.            Kalaulah tidak kerana kekuasaan ( yang diberikan Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya) pastilah manusia akan berbunuhan sesama mereka.
5.            Kalaulah tidak kerana mereka yang kurang akal (yang mengutamakan yang fana’ daripada yang kekal) maka runtuhlah dunia, dan
6.            Kalaulah tidak kerana angin akan membusuklah segala sesuatu".

Sebahagian Hukamak berujar:
1.            "Sesiapa yang tidak takutkan Allah tidak akan terselamat daripada ketergelinciran lidah.
2.            Barangsiapa yang tidak takutkan hari berdirinya di hadapan Allah nanti, tidak akan terselamat hatinya daripada yang haram dan syubhat.
3.            Barangsiapa yang tidak berputus asa daripada makhluk tidak akan terselamat daripada tamak haloba.
4.            Barangsiapa yang tidak memelihara amalnya tidak akan terselamat daripada riya’.
5.            Barangsiapa yang tidak merasa cukup dengan Allah dalam mengawal hatinya tidak akan terselamat ia daripada hasad dengki.
6.            Akhirnya barangsiapa yang tidak melihat kepada orang yang melebihinya dalam ilmu dan amal tidak akan terselamat daripada ‘ujub (bangga diri)".

Hassan Al-Basri r.h berkata: "Rosaknya hati disebabkan enam perkara;melakukan dosa sambil mengharapkan taubat, menuntut ilmu tidak diamalkan, jika diamalkan tidak ikhlas pula, memakan rezeki Allah namun tidak mensyukurinya, tidak redho dengan pembahagian Allah, menguburkan jenazah namun tidak mengambil iktibar".
Beliau berkata lagi: "Sesiapa yang menginginkan dunia dan memilihnya berbanding akhirat akan ditimpa enam balasan: tiga di dunia dan tiga lagi di akhirat;
Adapun tiga di dunia adalah; angan-angan yang tak berkesudahan, dikuasai rasa tamak yang tidak dapat dipuaskan, serta ditarik daripadanya kelazatan beribadah.
Adapun tiga di akhirat adalah; ketakutan yang teramat pada hari kiamat, hisab yang berat dan kerugian yang berpanjangan.

Ahnaf bin Qais r.anh berkata: "Tiada kerehatan bagi pendengki, tiada muru’ah (kehormatan diri) bagi pendusta, tiada jalan keluar bagi seorang yang bakhil, tiada pemenuhan janji bagi raja-raja, tiada ketinggian (kemuliaan) bagi orang yang buruk akhlak, dan tiada rintangan bagi qadha Allah".

Ditanyakan kepada sebahagian hukamak: "Apabila seorang hamba bertaubat, apakah ia tahu taubatnya diterima atau sebaliknya?"
Jawabnya: "Aku tidak tahu tetang hal itu, tapi di sana ada tanda-tandanya.
1.            Satunya, ia melihat dirinya bukanlah terpelihara daripada maksiat,
2.            dan ia melihat kegembiraan telah lenyap daripada hatinya digantikan dengan kesedihan,
3.            ia berdampingan dengan ahli kebaikan dan menjauhi ahli maksiat,
4.            ia melihat sedikitnya dunia yang dimiliki itu banyak dan melihat amal akhiratnya yang banyak itu masih sedikit,
5.            dan ia melihat apa yang hatinya sibuk dengan apa yang ia janjikan Allah, bukan apa yang Allah janjikan kepadanya,
6.            dan ia memelihara lisan, tenggelam dalam fikir, sentiasa berduka dan menyesal".

Berkata Yahya Bin Muadz Ar-Razi rh: "Aku melihat tipuan yang terbesar itu adalah berterusan melakukan dosa sambil mengharapkan keampunan Allah tanpa adanya penyesalan; menginginkan kedekatan kepada Allah tanpa melakukan ketaatan; mengharapkan tanaman syurga dengan benih neraka; menuntut negeri orang yang taat (syurga) dengan amal maksiat; menanti habuan tanpa beramal; berangan-angan kepada Allah (agar Allah mengampuninya dan memasukkannya ke syurga) dengan tidak menghiraukan batasanNya".
Engkau mengharapkan kejayaan tanpa menjejaki jalannya,
Sesungguhnya kapal itu tidak akan dapat belayar di atas daratan.


Ahnaf bin Qais ditanya; "Apakah yang terbaik diberikan kepada seorang hamba?" Jawabnya; "Aqal yang berguna (mampu berfikir dengan baik)".
"Jika tidak?" Jawabnya: "Adab yang baik".
"Jika tidak?" "Sahabat yang sependapat".
"Jika tidak?" "Hati yang sentiasa berhubung dengan Allah".
"Jika tiada juga?" "Diam yang berterusan".
"Jika tidak?" "Mati yang segera".

Diriwayatkan daripada Nabi SAW sabdanya: "Sesiapa yang meremehkan lima perkara akan kerugian lima perkara:
1.            Sesiapa yang meremehkan ulama akan kerugian agamanya,
2.            sesiapa yang meremehkan pemerintah akan kerugian dunianya,
3.            sesiapa yang meremehkan jirannya akan kerugian manfaat-manfaat,
4.            sesiapa yang meremehkan orang kuat (aqwiyaa) kerugian kasih sayang; dan
5.            sesiapa yang meremehkan ahli keluarganya (isterinya) akan kerugian kehidupan yang baik".

Bersabda Nabi SAW: "Akan datang suatu zaman ke atas umatku di mana mereka akan mencintai lima perkara dan melupakan lima perkara.
1.            Mereka mencintai dunia dan melupakan akhirat,
2.            mereka mencintai rumah dan melupakan kubur,
3.            mereka mencintai harta dan melupakan hisab,
4.            mereka mencintai kaum keluarga namun melupakan hak-haknya,
5.            mereka mencintai nafsu dan melupakan Allah.
Mereka itu bukan daripada golonganku dan aku berlepas diri daripada mereka".

Nabi SAW bersabda lagi: "Tidak dianugerahkan seseorang lima perkara melainkan akan disediakan untuknya lima perkara pula;
1.            Tidak dikurniakan kepadanya syukur melainkan disediakan baginya tambahan nikmat,
2.            tidak dikurniakan kepadanya doa melainkan disediakan buatnya istijabah (pengabulan doa),
3.            tidak diberikan kepadanya istighfar melainkan disediakan baginya keampunan,
4.            tidak dikurniakan kepadanya taubat melainkan disediakan buatnya penerimaan, dan
5.            tidak dikurniakan baginya sedekah melainkan disediakan baginya gantian".

Abu Bakr r.anh berujar: "Lima kegelapan dan lima penerangnya.
1.            Cinta dunia itu kegelapan dan penerangnya adalah taqwa,
2.            dosa itu kegelapan dan penerangnya adalah taubat,
3.            kubur itu gelap dan penerangnya adalah kalimah syahadah,
4.            akhirat adalah kegelapan dan penerangnya adalah amal soleh,
5.            manakala Siratal Mustaqim itu gelap dan penerangnya adalah yakin (iman)".

Umar berkata: "Jikalau aku tidak mahu dikatakan mengetahui perkara ghaib, pasti aku kan bersaksi ke atas lima golongan ini bahwa mereka adalah para penghuni syurga.
1.            Iaitu seorang fakir yang memiliki keluarga yang besar,
2.            seorang isteri yang diredhai suaminya,
3.            seorang isteri yang menyedekahkan maharnya kepada suaminya,
4.            anak yang diredhai kedua orang tuanya; serta
5.            seorang yang bertaubat daripada dosanya".

Utsman r.anh berkata: "Lima tanda orang bertaqwa.
1.            Tidak duduk melainkan bersama orang yang akan menambah kebaikan kepada agamanya,
2.            dapat menguasai kemaluan dan lidahnya,
3.            apabila ia didatangi sesuatu yang banyak/besar daripada dunia, dia memandangnya remeh sahaja, apabila ia didatangi sesuatu yang kecil daripada urusan agama ia cepat-cepat merebutnya,
4.            ia tidak memenuhkan perutnya dengan yang halal kerana takutkan bercampurnya dengan yang haram, serta
5.            ia melihat manusia seluruhnya selamat dan dirinya sendiri itu binasa".

Ali berkata: "Kalaulah tidak kerana lima perkara ini, manusia semuanya akan tergolong daripada orang baik-baik.
1.            Pertamanya ialah merasa cukup dengan kejahilannya (bodoh sombong),
2.            kemudian tamak dengan dunia,
3.            seterusnya bakhil dengan kekayaan,
4.            riya’ dengan amalan,
5.            dan kagum dengan pendapat sendiri".

Kebanyakan ulamak berkata: "Bahawa Allah telah memuliakan NabiNya SAW dengan lima kemuliaan.
1.            Pertamanya Allah tidak memanggil Nabi dengan namanya seperti nabi-nabi yang lain (Adam, Nuh, Ibrahim dsb) tetapi dengan pangkatnya iaitu Nabi dan Rasul.
2.            Keduanya, Nabi SAW tidak berdoa kepada Allah melainkan Allah menjawabnya dengan dirinya ? yang mana Allah tidak melakukan demikian kepada Nabi-Nabi yang lain,
3.            Allah juga memberikan kurniaNya kepada Nabi tanpa permintaan,
4.            selain itu Allah juga menyebutkan keampunanNya sebelum kesalahan Baginda ketika Allah berfirman “’afaLLahu ‘anka”,
5.            adapun ridha iaitu tidak ditolaknya tebusannya, sedekahnya dan nafkahnya seperti ditolak daripada nabi-nabi yang lain".

Abdullah bin ‘Amru ibn ‘Ash r.anh berkata; "Sesiapa yang memiliki lima perkara ini akan berbahagia dunia akhirat.
1.            Sesiapa yang mengingati bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Pesuruh Allah pada setiap ketika;
2.            apabila ia ditimpa musibah ia mengucapkan "inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun wala hawla wala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azhim";
3.            apabila mendapat ni’mat ia mengucapkan "alhamdulillahi rabbil ‘alamin syukran lin ni’mah",
4.            apabila memulakan sesuatu urusan ia mengucapkan "bismillahir rahmaanir rahim",
5.            apabila terlanjur melakukan dosa ia mengucapkan "astaghfirullahal ‘azhim wa atuubu ilaih".

Hassan al Basri berkata: "Tercatat lima perkara di dalam Taurat;
1.            bahawa kekayaan itu pada sifat qana’ah,
2.            keselamatan itu pada ‘uzlah,
3.            kehormatan diri itu pada menolak keinginan syahwat,
4.            kesenangan itu pada hari-hari yang panjang (akhirat); dan
5.            bersabar itu pada hari-hari yang pendek (dunia)".

Daripada Nabi SAW; "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.
1.            Waktu mudamu sebelum tibanya waktu tuamu,
2.            waktu sihatmu sebelum waktu sakitmu,
3.            waktu kayamu sebelum waktu faqirmu,
4.            waktu hidupmu sebelum waktu kematianmu; dan
5.            waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu".

Yahya bin Muadz Ar Razi berkata: "Sesiapa yang banyak kenyang (makan) banyaklah dagingnya, sesiapa yang banyak dagingnya banyaklah syahwatnya, sesiapa yang banyak syahwatnya banyaklah dosanya, sesiapa yang banyak dosanya keraslah hatinya dan sesiapa yang keras hatinya akan tenggelam di dalam dunia dan perhiasannya".

Sufyan Ats Tsauri berujar: "Orang fakir memilih 5 perkara dan orang kaya memilih 5 perkara pula.
Orang faqir memilih kerehatan jiwa, kelapangan hati, menghambakan diri kepada Tuhan,ringannya hisab dan darjat yang tinggi.
Sementara orang kaya pula memilih kepenatan jiwa, kesibukan hati, perhambaan kepada dunia, kesukaran hisab serta kerendahan darjat".

Abdullah Al Anthaki berkata: "Lima ubat hati adalah;
1.            bergaul dengan para solehin,
2.            membaca Al Quran,
3.            mengosongkan perut,
4.            qiyamullail; dan
5.            merendahkan diri kepada Allah pada waktu subuh".

Para ulamak berkata;
1.            "Tafakkur pada ayat-ayat Allah akan menghasilkan tauhid dan keyakinan,
2.            tafakkur pada ni’mat Allah akan membuahkan cinta kepadaNya,
3.            berfikir akan janji-janji Allah akan menghasilkan rasa gemar,
4.            memikirkan ancaman Allah akan membenihkan rasa gerun, dan
5.            memikirkan kekurangan dirinya dalam melakukan ketaatan beserta kebaikan Allah kepadanya akan membangkitkan rasa malu".

Sebahagian ulama berkata: "Sebelum menemui taqwa seseorang perlu melepasi lima bukit.
1.                  Pertamanya, memilih kesusahan berbanding kenikmatan,
2.            memilih kesukaran berbanding kerehatan,
3.            memilih kehinaan berbanding kemuliaan,
4.            memilih diam daripada ucapan yang tidak perlu; serta
5.            memilih kematian berbanding kehidupan".

Daripada Nabi SAW: "Bisikan itu memelihara rahsia, sedekah itu memelihara harta, ikhlas itu menjaga amalan, berkata benar itu memelihara perkataan, dan bermesyuarat itu memelihara pendapat".

Sabda Nabi SAW: "Pada mengumpul kekayaan itu ada lima perkara;
1.            Kepayahan / kehinaan dalam mengumpulnya,
2.            disibukkan daripada mengingati Allah disebabkan menguruskannya;
3.            ketakutan daripada dirampas dan kecurian,
4.            membawa nama bakhil pada dirinya,
5.            terpisah daripada orang soleh disebabkannya".
Adapun pada menjauhinya pula terdapat lima perkara:
1.            "Kerehatan jiwa daripada mencarinya,
2.            lapangnya waktu untuk mengingati Allah,
3.            aman daripada rasa takut kehilangan atau kecuriaannya,
4.            membawa nama yang mulia pada dirinya; dan
5.            berpeluang bersahabat dengan orang soleh dengan menjauhinya".

Sufyan Ats Tsauri berkata: "Tidak terkumpul pada seseorang harta pada zaman ini melainkan terkumpul juga padanya lima perkara;
1.            "Panjang angan-angan,
2.            dikuasai rasa tamak haloba,
3.            kebakhilan yang melampau,
4.            kurang wara’nya; serta
5.            melupakan akhirat".

Seorang bersyair:
Wahai orang yang meminang dunia untuk dirinya,
Sesungguhnya dunia itu bertukar kekasih setiap harinya,
(Terdapat sambungan syair ini yg belum sempat diterjemahkan..)

Hatim Al Ashom berujar; "Tergesa-gesa itu daripada syaitan kecuali pada lima keadaan kerana ianya daripada Sunnah Rasulillah SAW.
1.            Menjamu tetamu apabila datangnya,
2.            menyempurnakan jenazah apabila meninggalnya,
3.            menikahkan anak dara apabila cukup umurnya,
4.            melunaskan hutang apabila tiba tempohnya, dan
5.            bertaubat daripada dosa apabila terlanjur melakukannya".

Muhammad Ad Duuri berkata; "Iblis celaka disebabkan lima perkara;
1.            ia tidak mengakui dosa,
2.            tidak menyesalinya,
3.            tidak mencerca dirinya sendiri akibat dosa itu,
4.            tidak berazam untuk bertaubat, serta
5.            putus asa dari rahmat Allah".
Bahagianya Adam disebabkan lima perkara;
1.            ia mengakui dosanya,
2.            ia bertaubat darinya,
3.            ia menyesalinya,
4.            mencerca dirinya,
5.            cepat-cepat bertaubat; dan
6.            tidak putus asa dari rahmat Allah".

Syaqiq Al Balkhi berkata:
1.            "Sembahlah Allah sekadar hajat kamu kepadaNya,
2.            ambillah daripada dunia ini sekadar umur kamu padanya,
3.            berdosalah kepada Allah sekadar kemampuan kamu menanggung azabNya,
4.            berbekallah daripada dunia ini sekadar lamanya kamu menetap di dalam kubur nanti,
5.            beramallah untuk syurga sekadar kedudukan yang kamu impikan untuk duduk di dalamnya".

Umar r.anh berkata:
1.            "Aku melihat para kekasih maka aku tidak melihat kekasih yang lebih baik daripada memelihara lidah,
2.            aku melihat pakaian dan aku tidak mendapati pakaian yang lebih utama daripada wara’,
3.            aku melihat harta dan aku tidak mendapati harta yang lebih utama daripada qana’ah,
4.            aku melihat kebaikan dan aku tidak mendapai yang lebih baik daripada nasihat, serta
5.            aku melihat makanan dan aku tidak mendapati makanan yang lebih lazat daripada kesabaran".

Sebahagian hukamak berujar: "Zuhud itu lima komponen:
1.            Menaruh keyakinan kepada Allah,
2.            berlepas diri daripada makhluk,
3.            ikhlas dalam beramal,
4.            menanggung kezaliman; serta
5.            qana’ah (merasa cukup) dengan apa yang dimiliki".

Sebahagian ahli ibadah berkata di dalam munajatnya: "Tuhanku, panjangnya angan-angan telah menipuku,cinta dunia telah membinasakanku, syaitan pula telah menyesatkanku, nafsu ammarah menghalangiku dari jalanMu, teman-teman yang jahat sering mengajakku ke arah kemaksiatan kepadaMu, maka tolonglah daku wahai Zat yang menolong orang yang memerlukan pertolongan. Jika Engkau tidak mengasihaniku, siapakah lagi yang akan mengasihiku…"

Sabda Nabi SAW: "Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana mereka mencintai lima perkara dan melupai lima perkara.
1.            Mereka mencintai dunia dan melupakan akhirat,
2.            mereka mencintai kehidupan dan melupakan kematian,
3.            mereka mencintai istana-istana (rumah) dan melupakan kuburan,
4.            mereka mencintai harta benda dan melupakan hisab, serta
5.            mereka mencintai makhluk dan melupakan Khalik (Pencipta)".

Yahya bin Muadz Ar Razi bermunajat: "Tuhanku, tiada indahnya malam melainkan dengan munajat kepadaMu, tiada serinya siang melainkan dengan mentaatimu. Tiada harumnya dunia tanpa ingatan kepadaMu, tiada wanginya akhirat tanpa keampunanMu dan tiadalah indahnya syurga melainkan dengan melihat kepada WajahMu".



Diriwayatkan Nabi SAW bersabda kepada Abi Zarr Al Ghifari r.anh: “Wahai Abu Zarr, perbaikilah kapalmu kerana lautan itu sangat dalam, berbekallah secukupnya kerana perjalanan itu sangat panjang, ringankanlah bebanan kerana pendakian itu sangat melelahkan, dan ikhlaskanlah amal kerana pengawas sedang memerhatikan”.

Berkata penyair:
“Bertaubat itu suatu yang wajib
Namun meninggalkan dosa lebihlah wajibnya,

Bersabar kerana musibah itu sukar,
Sedangkan terlepasnya pahala itu lebih lagi sukarnya,

Silih bergantinya masa dipenuhi keajaiban,
Namun kelalaian manusia lebih menghairankan,

Setiap yang akan datang amatlah dekat,
Sedang maut lebih dekat dari segala yang dekat.”


Sebahagian hukamak berkata: “Empat perkara yang elok, namun ada empat perkara lagi yang lebih elok..
1.            Malu bagi seorang lelaki itu elok, namun bagi seorang perempuan itu lebih elok lagi.
2.            Keadilan pada seseorang itu elok, namun pada seorang pemerintah lebih elok lagi.
3.            Taubat daripada seorang tua itu bagus, namun daripada seorang pemuda lebih bagus lagi.
4.            Sifat dermawan daripada si kaya itu bagus, namun daripada si faqir itu lebih bagus lagi.

Hukamak berkata lagi: “Empat perkara yang jelek, namun empat yang lebih jelek.
1.            Pemuda yang berdosa itu jelek, namun dosa daripada seorang tua itu lebih jelek lagi.
2.            Si jahil yang sibuk dengan dunia itu jelek, namun lebih jelek lagi jika si alim melakukannya.
3.            Malas melakukan ibadah itu jelek jika datangnya daripada orang awam, namun lebih jelek jika yang malas itu para ulamak dan penuntut ilmu.
4.            Kesombongan si kaya itu jelek, namun lebih jelek jika si faqir menyombongkan dirinya”.

Sabda Nabi SAW:
1.            “Bintang-bintang itu simbol keamanan kepada penghuni langit (malaikat). Jika ia telah berjatuhan, maka ia adalah kecelakaan ke atas mereka (kiamat).
2.            Ahli Baytku adalah simbol keamanan umatku. Jika mereka terpesong, kehancuran akan menimpa umatku.
3.            Aku adalah keamanan bagi para sahabatku, jika aku telah wafat, kecelakaan akan mendatangi mereka.
4.            Gunung-ganang adalah simbol keamanan bumi ini, jika ia diratakan, bumi akan ditimpa kecelakaan”.

Kata Ibnul Mubarak rh:
1.            "Sesiapa yang bersolat 12 rakaat (nawafil) setiap hari, bererti ia telah menunaikan hak solat.
2.            Sesiapa yang berpuasa 3 hari setiap bulan, bererti ia telah menunaikan hak puasa.
3.            Sesiapa yang membaca seratus ayat Al Quran setiap hari, bererti ia telah menunaikan hak pembacaan Al Quran.
4.            Sesiapa yang bersedekah seminggu sekali, bererti ia telah menunaikan hak sedekah”.

Kata Umar r.anh: “Ada empat lautan.
1.            Keinginan itu lautan dosa,
2.            nafsu itu lautan syahwat,
3.            maut itu lautan usia, dan
4.            kubur itu lautan penyesalan”.

Utsman bin ‘Affan r.anh berkata: “Aku menemui kelazatan ibadah pada empat hal.
1.            Pertamanya pada menunaikan apa yang difardhukan Allah.
2.            Keduanya pada menjauhi apa yang diharamkan Allah.
3.            Ketiganya pada menyuruh kebaikan kerana mengharapkan pahala daripada Allah.
4.            Dan keempatnya pada menegah kemungkaran kerana takutkan murka Allah.
Seterusnya ia berujar lagi: “Empat perkara zahirnya berupa keutamaan, namun batinnya berupa kefardhuan.
1.            Bergaul dengan para ulamak itu keutamaan, namun mencontohi mereka itu kefardhuan.
2.            Membaca Al Quran itu keutamaan, namun beramal dengannya itu kefardhuan.
3.            Menziarahi kuburan itu keutamaan, namun bersiap menempatinya itu kefardhuan.
4.            Melawat orang sakit itu keutamaan, namun mengambil pengajaran darinya itu kefardhuan”.

Ali r.anh berkata:
1.            “Siapa yang rindukan syurga akan bersegera melakukan kebaikan.
2.            Siapa yang takutkan neraka akan menahan syahwat keinginan.
3.            Siapa yang meyakini kematian, hilanglah darinya lazat kehidupan.
4.            Siapa yang mengenal hakikat dunia akan ringanlah baginya sebarang penderitaan".

Daripada Nabi SAW sabdanya: 
1.            “Solat itu tiang agama, dan diam itu lebih utama.
2.            Sedekah itu memadam kemurkaan Tuhan, dan diam itu lebih utama.
3.            Puasa itu perisai dari neraka, dan diam itu lebih utama.
4.            Jihad itu puncak tertinggi agama, dan diam itu lebih utama.”

Dikatakan bahawa Allah telah mewahyukan kepada seorang Nabi Bani Israil:
1.            “Diammu dari memperkatakan kebatilan itu seperti puasa di sisiKu.
2.            Memelihara anggota dari yang diharamkan seumpama solat di sisiKu.
3.            Putus harapan daripada makhluq itu seumpama sedekah di sisiKu.
4.            Tidak menyakiti kaum muslimin itu seolah-olah jihad di sisiKu".

Ibn Mas’ud r.anh berkata: “ Empat perkara menggelapkan hati.
1.            Mengenyangkan perut sesukanya,
2.            bersahabat dengan orang zalim,
3.            melupai dosa-dosa silam; dan
4.            panjangnya angan-angan.
Sementara empat yang mencerahkan hati adalah:
1.                  Perut yang lapar kerana takutkan yang haram,
2.            bersahabat dengan orang soleh,
3.            mengingati dosa-dosa lalu, dan
4.            pendek angan-angan.”

Hatim Al Ashom berkata: “Sesiapa yang mendakwakan empat perkara tanpa empat bukti maka dakwaannya palsu.
1.            Sesiapa yang mendakwa cintakan Allah namun tidak menahan diri dari apa yang diharamkan Nya maka dakwaannya dusta.
2.            Sesiapa yang mengaku mencintai Nabi SAW tetapi,membenci faqir miskin, maka pengakuannya palsu.
3.            Sesiapa yang mendakwa mencintai syurga namun bakhil untuk bersedekah, maka dakwaannya batil.
4.            Sesiapa yang mengaku takutkan neraka namun tidak menghentikan dosa maka ia sebenarnya berdusta.”

Daripada Nabi SAW sabdanya: “Tanda kecelakaan itu empat.
1.            Melupai dosa-dosa silam sedangkan Allah tidak melupakannya.
2.            Menyebut-nyebut kebaikan yang pernah dilakukan sedang ia sendiri tidak mengetahui apakah amalnya diterima atau sebaliknya.
3.            Melihat kepada orang yang melebihinya dalam perkara dunia; dan
4.            melihat orang yang di bawahnya dalam urusan agama. Allah berfirman: “Aku menginginkannya namun ia tidak menginginkan Daku, maka aku melupakannya.”
Petanda kebaikan itu ada empat:
1.            “Mengingati dosa-dosa lalu,
2.            melakukan kebaikan yang dilakukan,
3.            melihat kepada mereka yang melebihinya dalam urusan agama; dan
4.            melihat mereka yang kurang darinya dalam urusan dunia”.

Sebahagian hukamak berkata: “Simbol keimanan itu empat; taqwa, malu, syukur dan sabar”.

Daripada Nabi SAW sabdanya:
1.            “Ibu kepada segala ubat adalah sedikit makan,
2.            ibu kepada adab adalah sedikitnya percakapan,
3.            ibu kepada ibadat adalah sedikitnya dosa,
4.            sementara kesabaran adalah ibu kepada cita-cita".
Katanya lagi SAW: "Empat permata dalam diri manusia yang akan dilenyapkan oleh empat perkara. Empat permata tersebut adalah aqal, agama, rasa malu dan amal soleh. Marah akan melenyapkan aqal, hasad akan melenyapkan agama, tamak pula akan melenyapkan rasa malu, serta mengumpat akan menghapuskan amal soleh.”

Daripada Nabi SAW sabdanya: “Empat perkara di dalam syurga lebih baik daripada syurga itu sendiri.
1.            Kekal dalam syurga lebih baik daripada syurga itu sendiri,
2.            khidmatnya malaikat kepada ahli syurga lebih baik daripada syurga,
3.            bertetangga dengan Nabi-nabi di dalam syurga lebih baik daripada syurga, dan
4.            keredhaan Allah di dalam syurga lebih baik daripada syurga itu sendiri.”
Empat perkara di dalam neraka pula yang lebih teruk daripada neraka itu.
1.            Kekal di dalamnya lebih buruk daripada neraka,

2.            celaan malaikat kepada penghuninya lebih buruk daripada neraka,
3.            bertetangga dengan syaitan di dalam neraka lebih buruk daripada neraka, dan
4.            murka Allah kepada penghuninya lebih buruk daripada neraka itu sendiri”.

Sebahagian hukamak apabila ditanya, bagaimana keadaanmu, ia menjawab: "Aku mendampingi Tuhan dan memusuhi nafsu, menasihati makhluq dan mengambil dunia sekadarnya”.

Hukamak telah memilih empat ungkapan daripada empat kitab.
1.            Daripada Taurat berbunyi; “Sesiapa yang redha dengan pemberian Allah akan tenang dunia akhirat". 
2.            Daripada Injil pula berbunyi; “Sesiapa yang menghancurkan syahwat akan mulia di dunia dan akhirat”. 
3.            Daripada Zabur pula berbunyi; “Sesiapa yang menjauhi pergaulan dengan manusia akan selamat dunia akhirat". 
4.            Dan daripada Al Furqan (Al Quran) pula berbunyi; “Sesiapa yang memelihara lisannya akan selamat di dunia dan akhirat”.

Umar r.anh berkata: “Tiadalah Allah mengujiku dengan satu bala melainkan dikurniakan dengannya empat macam nikmat;
1.            Pertamanya ia bukannya kerana dosaku,
2.            keduanya aku tidak ditimpa musibah yang lebih teruk daripadanya,
3.            ketiganya aku tidak diharamkan redhoNya, dan
4.            keempatnya aku mengharapkan pahala daripadanya”.

Abdullah Ibnul Mubarak berkata: “Seorang lelaki yang bijaksana mengumpulkan hadis lalu memilih empat puluh ribu daripadanya. Kemudian ia memilih lagi empat ribu daripadanya, setelah itu ia menyaring pula sehingga menjadi empat ratus. Kemudiannya ia memilih empat puluh daripadanya. Akhirnya ia hanya memilih empat sahaja daripadanya.
1.            Pertamanya adalah; “Janganlah engkau percayakan urusanmu kepada seorang wanita dalam segala keadaan". 
2.            Keduanya; “Janganlah engkau terpedaya dengan harta dalam segala keadaan". 
3.            Ketiganya; “Janganlah membebankan perutmu di luar kesanggupannya". 
4.            Keempatnya adalah; “Jangan mengumpulkan ilmu yang tidak memberi manfaat padamu”.

Muhammad bin Ahmad berkata tentang firman Allah :“ Dan (Yahya ) itu adalah seorang tuan (sayyid) dan yang menjaga diri serta seorang nabi yang soleh”.
Katanya; Allah menyebut Yahya a.s sebagai seorang tuan sedangkan ia adalah hambaNya disebabkan ia dapat mengawal empat perkara iaitu: hawa nafsunya, iblis, lidahnya dan rasa marahnya”.

Ali r.anh berkata: "Agama dan dunia ini akan selamanya tegak disebabkan empat hal.
1.            Selagimana si kaya tidak bakhil dengan kekayaannya,
2.            ulama beramal dengan ilmunya.,
3.            si jahil tidak menyombong dalam kejahilannya; dan
4.            fakir miskin tidak menjual akhiratnya untuk mendapatkan dunia”.

Daripada Nabi SAW sabdanya: “Allah akan berhujjah pada hari akhirat nanti kepada empat orang dengan empat jenis manusia.
1.            Orang kaya dengan Nabi Sulaiman bin Dawud,
2.            seorang hamba dengan Nabi Yusuf ( kerana Baginda pernah dijadikan hamba ),
3.            orang yang sakit dengan Nabi Ayyub; dan
4.            orang yang fakir dengan Nabi Isa”.

Bilal bin Saad r.h berkata: “Meskipun seorang hamba melakukan dosa namun Allah tetap memberinya empat perkara:
1.            “Tidak ditahan rezekinya,
2.            tetap disihatkan badannya,
3.            tidak didedahkan dosanya; serta
4.            ditangguhkan hukumannya”.

Hatim Al Ashom r.anh berkata: “Sesiapa yang mengalihkan fikirannya kepada empat perkara akan memperolehi syurga.
1.            Iaitu tidur kepada kubur,
2.            kesombongan kepada mizan (timbangan amal),
3.            kerehatan kepada titian (Siratal Mustaqim); dan
4.            syahwat keinginan kepada syurga Tuhan”.

Hamid Al Laffaf berkata: "Kami mencari empat perkara pada empat perkara, namun kami memperolehinya pada empat yang lain pula.
1.            Kami mencari kekayaan dengan harta namun kami menemuinya pada sikap berpada dengan apa yang ada (Qana'ah).
2.            Kami mencari kerehatan pada banyaknya harta namun kami mendapatinya pada sedikitnya harta.
3.            Kami mencari kelazatan pada ni’mat, namun kami mendapatinya pada badan yang sihat,
4.            Kami mencari rezeki di bumi lalu kami mendapatinya di langit yang tinggi”.

Ali kwj berkata: "Empat perkara yang sedikitnya pun dikira cukup banyak.
1.            Kesakitan,
2.            kepapaan,
3.            neraka; dan
4.            permusuhan".

Hatim Al Ashom berkata: "Empat perkara yangtidak diketahui nilainya melainkan oleh empat jenis manusia.
1.            Kemudaan oleh seorang tua,
2.            kelapangan oleh orang yang ditimpa bala,
3.            kesihatan oleh orang yang sakit;
4.            dan kehidupan oleh orang yang telah meninggal".

Abu Nuwas bersyair:
"Dosa-dosaku jika aku fikirkan amatlah banyaknya,
Sedangkan rahmat Tuhanku berbanding dosa-dosaku amatlah luasnya.
Tiadalah harapanku kepada amal solehku jika ada,
Namun rahmat Allah jualah harapan yang aku cita,
Dialah Allah, Tuhan yang mencipta diri ini,
Sedang aku hanyalah hambanya mengakui dosa"
(Di sini ada lagi beberapa baris sambungan syair ini, tetapi ditangguhkan penterjemahannya ketika itu kerana belum menjumpai perkataan yg benar-benar sesuai untuk menggambarkan makna syair itu..)

Sabda Nabi SAW: “Apabila tibanya hari kiamat akan diletakkan timbangan amal lalu didatangkan ahli solat dan ditimbang pahala mereka, kemudian didatangkan pula ahli puasa dan ditimbang pahala mereka. Setelah itu didatangkan pula ahli hajji dan ditimbang pahala amalan mereka. Kemudian didatangkan pula mereka yang selalu ditimpa bala (ujian) di dunia dahulu, namun tidak dikeluarkan catatan amalan mereka. Lantas mereka dibalasi dengan pahala tanpa hisab sehingga pada hari itu orang yang sihat-sihat di dunia dahulu berangan-angan sekiranya mereka juga menerima apa yang telah diterima oleh golongan tersebut dikeranakan banyaknya pahala yang disediakan Allah buat mereka”.

Sebahagian hukamak berkata: "Seorang anak Adam pada dirinya terdapat empat bahagian yang akan dikuasai oleh empat pula;
1.            Malaikat maut akan menguasai ruhnya,
2.            ahli waris akan menguasai hartanya,
3.            ulat-ulat akan menguasai jasadnya
4.            manakala orang yang dizaliminya di dunia dahulu akan menuntut amal baiknya di akhirat".
Mereka berujar lagi:
1.            "Siapa yang sibuk dengan syahwat tidak akan lepas daripada wanita,
2.            siapa yang sibuk mengumpul harta tidak akan dapat lari daripada yang haram,
3.            siapa yang sibuk dengan mencurahkan manfaat kepada kaum muslimin tidak dapat tidak mesti bergaul; dan
4.            sesiapa yang sibuk dengan ibadah maka tidak dapat tidak mesti dengan ilmu".



No comments:

Post a Comment