Mubarak bertugas sebagai khadam kepada Abu Musa. Ketika Abu Musa mengendalikan perniagaan di luar negara, Abu Musa menyerahkan kepada Mubarak segala urusan untuk mengendalikan ladang anggur. Sebaik kembali, Abu Musa minta Mubarak mengambil jenis anggur yang paling manis dari ladangnya.
Abu Musa terkejut serta kehairanan kerana Mubarak tidak mengetahui dan tidak dapat membezakan jenis anggur yang manis dan yang kurang manis. Lalu Abu Musa bertanya kepada Mubarak, ‘Mengapa engkau tidak tahu langsung mengenai anggur aku sedangkan dua tahun engkau menjaganya?.’ Jawab Mubarak, ‘Aku diamanahkan untuk menjaga ladang tuan tapi tuan tidak pernah melafazkan keizinan untuk aku memakan anggur tuan.’
Abu Musa yang merupakan seorang yang warak juga sudah tahu dan faham bahawa Mubarak seorang yang amat jujur dan warak. Lalu Abu Musa jodohkan anak perempuannya dengan Mubarak biarpun Mubarak berkulit gelap. Hasil perkahwinan Mubarak dengan anak perempuan Abu Musa itu maka lahirlah seorang ulama yang popular iaitu Ibnu Mubarak. Bahkan ada pendapat mengatakan bahawa Ibnu Mubarak adalah seorang Wali Allah.
Hampir sama juga dengan sejarah Syeikh Abdul Kadir Jailani, seorang Wali Allah, juga seorang ulama popular. Banyak karamahnya yang di tulis oleh para muridnya. Bermula dengan sejarah seorang pemuda yang memakan sebiji epal hanyut disungai. Lalu datang rasa penyesalan dihatinya. Lantas pemuda itu menyusuri sungai tersebut hingga akhirnya dia bertemu dengan sebuah kebun epal ditepi sungai. Dia bertemu tuan kebun epal untuk minta maaf dan minta dihalalkan epal yang telah dimakannya. Tuan kebun memaafkan tetapi dengan syarat pemuda tersebut mesti berkhidmat kepadanya selama beberapa tahun.
Setelah tamat tempoh khidmat, pemuda tersebut memohon izin untuk bebas. Namun tuan kebun epal menambah satu lagi syarat, iaitu pemuda tersebut mesti mengahwini anak gadisnya yang buta,bisu dan pekak. Pemuda tersebut menyetujui dengan syarat tersebut asalkan dosa memakan sebiji epal hanyut itu Tuhan ampunkan.
Sebaik sahaja selesai majlis penikahan, pemuda tersebut terkejut apabila ucapan salam buat pertama kali untuk isterinya berjawab. Dia keliru adakah dia tersilap bilik atau dia nikah dengan silap orang. Maka pemuda itu kembali kepada bapa mertuanya minta penjelasan. Selesai mendapat penjelasan, maka fahamlah bahawa buta itu bermaksud anak gadis tuan kebun epal itu tidak pernah melihat lelaki lain yang ajnabi. Bisu itu bermaksud tidak pernah berkata-kata yang maksiat dan sia-sia. Manakala pekak itu pula bermaksud tidak pernah mendengar sebarang perkataan yang membawa dosa. Begitulah gambaran solehahnya anak gadis tuan kebun epal itu. Hasil perkahwinan seorang pemuda warak dengan wanita solehah inilah maka Tuhan kurniakan anak yang di kenali sebagai Syeikh Abdul Kadir Jailani.
Dua orang ini hanyalah sebagai contoh sahaja. Kaji dan telitilah sejarah tokoh-tokoh penting yang hebat seperti Umar Ibnu Abd Aziz, Abu Hassan Asyaari, Imam Syafie, Imam Fakhruddin, Imam Ghazali, Imam Sayuti, Salehuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh, cukup sekadar beberapa nama. Semua mereka lahir daripada zuriat dan keturunan yan soleh dan solehah.
Betapa penting kita umat Islam memahami dan berusaha menghayati faktor ini. Yakni salah satu faktor penting dalam melahirkan anak-anak yang baik. Seringkali ibu bapa mencari panduan terhadap anak-anak yang nakal, degil, keras kepala, liar, sombong, biadab, kurang ajar, terlibat gejala negatif. Sedangkan punca terjadi demikian kepada anak-anak, tidak dapat lari dari sumbangan faktor ibu bapa. Faktor didikan dan asuhan memang penting, namun fakror kesolehan kedua ibu bapa menjadikan didikan dan asuhan akan lebih mudah berhasil dan berjaya.