Setiap manusia yang lahir disertakan ‘qarin’ oleh Allah yang
bertugas sebagai ‘penggoda’ seseorang itu sejak seseorang itu lahir hinggalah
saat kematiannya. Rasulullah SAW sendiri tidak terkecuali. Hanya Rasulullah SAW
sahaja yang tidak dapat digoda oleh qarin. Cuma bezanya, qarin Rasulullah
adalah muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a katanya, “Tidak seorangpun di
antara kamu melainkan telah ada jin yang ditugaskan pemimpinnya untuk selalu
menggodanya.” Para sahabat bertanya, “Anda
juga, ya Rasulullah?” Jawab baginda, “Ya. Aku juga. Tetapi Allah selalu
melindungiku dari godaan mereka sehingga mereka yang menggodaku akhirnya Islam
(menyerah). Kerana itu mereka tidak berani menyuruhku melainkan untuk
kebaikan.” (Hadis riwayat Muslim)
Aisyah r.a. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah
SAW keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.”
Tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya, “Wahai Aisyah apa sudah jadi,
apakah engkau cemburu?” Aku berkata, “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang
seumpama engkau ya Rasulullah?” Sabda Baginda, “Apakah engkau telah dikuasai
oleh syaitanmu?” Aku bertanya, “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda, “Setiap
insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi, “Adakah engkau pun ada
syaitan, ya Rasulullah?” Jawab Baginda, “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga
Qarinku telah masuk Islam.” (Hadis riwayat Muslim)
Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan
dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia
Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap
kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.” (Hadis riwayat Baihaqi)
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan daripada Rasulullah SAW,
“Jika seseorang keluar dari pintu rumahnya atau dari pintu tempat tinggalnya,
maka akan ada dua malaikat yang mengawalnya. Jika dia membaca, “Bismillah”,
kedua malaikat itu berkata, “Engkau mendapat petunjuk.” Jika dia mengucapkan,
“Laa haula walaa quwwata illa billah” (tiada daya dan kekuatan, melainkan hanya
Allah), dua malaikat itu akan berkata, “Engkau terjaga.” Jika dia mengucapkan
“tawakkaltu ‘alallah” (kepada Allah aku berserah diri), dua malaikat itu
berkata, “engkau telah dicukupkan.” Lalu dua malaikat itu menemui qarin (jin
yang selalu menyertai manusia) orang itu. Dua malaikat itu berkata, “Apa yang
kamu kehendaki daripada seseorang yang telah diberi petunjuk, dicukupi
keperluannya dan dijaga dirinya?”
Qarin akan berpisah dengan ‘kembar’nya hanya apabila manusia
meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin
terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila
tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah
untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab
atas kesesatan atau kederhakaan manusia.
No comments:
Post a Comment