Sabda Nabi SAW: “Apabila salah seorang kamu datang ke masjid ketika
khatib sedang berkhutbah, maka hendaklah ia bersolat dua rakaat dengan meringkaskannya” [ Muslim, Abu Dawud]
Berkata Imam An Nawawi mengulas hadith di atas: “Ini adalah nas yang tidak dapat
ditakwilkan lagi ( jelas maknanya ). Dan aku tidak merasa bahawa ada seorang
alim yang sampai kepadanya lafaz ( hadith) ini serta menganggapnya sahih akan
mengatakan sebaliknya” [ Fathul
Baari, jilid 3 m/s 76 ]
Melalui hadith di atas dan hadith-hadith yang lain
serta kata-kata Imam Nawawi tersebut, maka dapatlah difahami bahawa sesiapa yang BARU MASUK KE
MASJID diperintahkan untuk bersolat
sunat 2 rakaat yang ringkas samaada Tahiyyatul masjid ataupun sunat Qabliah
Jumaat ( jika mengikut pendapat ulama mazhab Asy Syafi’e), sekalipun ketika
khatib sedang berkhutbah. Hukumnya
adalah SUNAT.
Sekarang, mari kita lihat apakah pula hukum bagi orang yang SUDAH HADIR di dalam masjid mengerjakan solat ketika khatib sudah
di atas mimbar. Berikut adalah sejumlah keterangan yang dinukil daripada
kitab-kitab muktabar mazhab Asy Syafi’e.
1. “ Dan MAKRUH
TAHRIM walaupun
bagi orang yang tidak wajib baginya Jumaat,setelah duduknya khatib di atas
mimbar, sekalipun ia tidak mendengar khutbah, melakukan solat fardhu
walaupun solat yang ia tertinggal lalu diingatnya ketika itu yang mana pada
hukum asalnya solat tersebut hendaklah ditunaikan segera apabila teringat, atau
solat sunat; walaupun sewaktu doa kepada pemerintah (di dalam khutbah). Pendapat yang awjah (terpilih) ialah solat itu (jika dikerjakannya)
TIDAK SAH, seumpama (hukum) solat di dalam waktu yang
dimakruhkan, bahkan lebih utama lagi (dihukumkan makruhnya). Dan wajib bagi
orang yang sedang bersolat untuk meringkaskan solatnya sekadar melaksanakan apa
yang perlu (rukun solat) ketika khatib telah duduk di atas mimbar.” [ Fathul Mu’in, fasal Solat Jumaat, m/s 68 ]
2. “Dan HARAM atas orang yang hadir di dalam
masjid mengerjakan sembahyang kemudian daripada khatib sudah duduk di atas
mimbar dan jika tiada ia mendengar akan khutbah sekalipun.” [ Sabilal
Muhtadiin, Jilid 2, m/s 52 ]
3. “Selain daripada tahiyyatul masjid (atau Qabliah
Jumaat mengikut ulama mazhab Asy Syafi’e) adalah DIHARAMKAN solat dengan sebab naiknya khatib ke mimbar,
sekalipun ia belum berkhutbah..” [
Al Fiqhul Islami Wa Adillatuh, Jilid 2 m/s 1314 ]
4. “maka HARAM orang yang sudah
hadir di
dalam masjid, lagi TIADA SAH ia sembahyang sunat atau fardhu tatkala khatib
membaca, samaada sudah diperbuat sunat itu dahulu daripada khutbah atau belum
lagi diperbuatnya.” [
Matla’al Badrain, akhir Bab Solat Jumaat, m/s 47 ]
Pecahan masalah
Sekarang mari kita lihat situasi yang seringkali
berlaku di masjid-masjid ketika hari Jumaat di mana seseorang masuk ke masjid
ketika AZAN KEDUA berkumandang dan khatib sudahpun berada di atas mimbar. Lalu kita
dapati orang tersebut akan berdiri menunggu sehingga habisnya azan dan setelah
itu apabila khatib berdiri memulakan khutbahnya, ia pula bertakbiratul ihram
untuk bersolat!
Jika kita merujuk kembali keterangan-keterangan
yang telah dikemukakan sebelum ini, nyatalah bahawa solat yang dilakukannya
adalah HARAM atau sekurang-kurangnya MAKRUH TAHRIM dan TIDAK SAH.
Seandainya ada yang beralasan bahawa orang tersebut
dikira baru masuk ke masjid kerana ia belum duduk, maka alasan ini adalah
dangkal dan tidak dapat dijadikan hujjah sama sekali. Ini kerana masa yang diambilnya untuk
menunggu habisnya azan adalah mencukupi untuknya menyelesaikan dua rakaat yang
ringkas. Demikian juga dari segi adatnya, orang tersebut dikira sebagai orang yang TELAH HADIR dan bukannya baru hadir berdasarkan lamanya berdiri di dalam masjid itu.
Jika ada yang mengatakan, dia perlu menjawab azan!
Maka kita katakan, menjawab azan itu hukumnya sunat dengan kesepakatan ulama,
sedangkan diam mendengar khutbah itu wajib mengikut pendapat sebahagian ulama.
Dan tidaklah wajar untuk melakukan sesuatu yang sunat yang mengakibatkannya
jatuh kepada yang haram atau sekurang-kurangnya makruh tahrim.
Mungkin asal kepada kekeliruan ini adalah apabila
ada si fulan yang melihat si A masuk ke masjid
ketika AZAN PERTAMA berkumandang, dan si
A itu berdiri menjawab azan kemudian lalu bersolat. Lantas si fulan ini yang
beramal secara ikut-ikutan tanpa ilmu menyangka tiada bezanya berdiri ketika
azan pertama dan azan kedua lalu meniru perlakuan si A pada azan yang kedua.
Kemudian perkara tersebut ditiru pula oleh orang lainnya sehingga meratalah dan
teradatlah kekeliruan tersebut.Sehingga kita menyaksikan orang yang melakukan
hal tersebut dianggap benar, sedangkan orang yang melakukan yang sebenarnya
pula dipandang tidak memahami agama. Allahul musta’aan.
Penyelesaiannya
Secara ringkasnya, apa yang patut dilakukan oleh
orang yang masuk ke masjidKETIKA AZAN KEDUA berkumandang adalah TERUS MENUNAIKAN SOLAT 2 RAKAAT YANG RINGKAS TANPA
PERLU MENUNGGU SEHINGGA HABISNYA AZAN berdasarkan keterangan-keterangan yang telah dijelaskan di atas.
Semoga risalah yang ringkas ini bermanfaat untuk
penulisnya serta sesiapa yang membaca dan menyebarkannya dan menjadi bekalan
yang berguna di hari yang tiada berguna anak pinak dan harta benda, kecuali
mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Ameen.
No comments:
Post a Comment