Seawal-awal kelahiran seorang bayi, fitrahnya ialah dia akan menangis. Indahnya system fisiologi ciptaan Allah SWT. DiciptaNya sifat menangis bertujuan memaksa ‘septum secundum’ pada ‘right atrium of the heart’ (atrium kanan) bercantum dengan ‘primary septum’ untuk menutup ‘foramen ovale’ yang menghubungkan atrium kanan dan atrium kiri. Foramen ovale hanyalah relevan di alam rahim, jika di alam dunia, ia tidak ditutup, maka bayi akan mengalami masalah jantung berlubang yang bisa meragut nyawa.
Mungkin juga bayi yang
menangis itu, menangis kerana menyedari bakal menjadi khalifah Allah untuk
memakmurkan alam semesta ini. Mungkin juga, bayi itu menangis kerana sedar
bahawa dia sudah berada di alam yang akan menentukan letak duduk rohnya di alam
akhirat nanti. Mungkin juga bayi itu menangis mengenangkan sama ada mampu atau
tidak menyempurnakan ikrarnya semasa di alam rahim.
Bagi kita manusia dewasa,
sewajarnya kita merenung dan bermuhasabah kembali hikmah disebalik tangisan
bayi ini kerana ianya merupakan pengajaran buat diri kita. Sewajarnya kita
kaitkan tangisan itu dengan ketakutan kepada Allah SWT. Kerana dengan rasa
gerun dan takutnya kita kepada Yang Maha Esa akan dikurniakan syurga.
Firman Allah SWT,
“Dan bagi orang yang
takut saat menghadap Tuhannya ada dua syurga. Maka nikmat Tuhan kamu yang
manakah yang kamu dustakan?” – (Ar-Rahman : 46-47)
Hisaplah sejauh manakah
pula rasa takut ini menjadi pendorong untuk kita mengerjakan seluruh ibadah
yang diwajibkan keatas kita. Renungkan juga sejauh mana kita takut kepada Allah
sehingga berderai air mata.
Sabda Nabi Muhammad SAW,
“Barang siapa daripada
seorang hamba Allah yang keluar daripada kedua-dua
matanya, airmata sebesar lalat atau kepala lalat sekalipun, kerana takut kepada
Allah hingga mengenai wajahnya, maka api neraka tak akan menyentuhnya,
selamanya.” - (Samarqandi, Tanbih Al-Ghafilin)
Beberapa kisah berkenaan
tangisan manusia-manusia mulia di muka bumi ini yang sangat-sangat takut kepada
Allah SWT.
1.Tangisan Junjungan
Kita Nabi Muhammad SAW.
Pada suatu hari Rasulullah
SAW meminta Ibnu Mas’ud membacakan beberapa potong ayat Al-Quran. Ibnu Mas’ud
membacakan ayat dari surah An-Nisa dan Rasulullah mengamatinya dengan
bersungguh-sungguh serta tenang sehingga sampai kepada ayat :
“Maka bagaimanakah (halnya
orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seorang saksi (Rasul) daripada
tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka
itu (sebagai umatmu) – (An-Nisa : 41)
Rasulullah bersabda,
“Cukuplah sekadar itu”
Ibnu Mas’ud berkata :
“Kemudian aku palingkan pandanganku ke wajah Rasulullah SAW. Aku lihat
kedua-dua matanya berlingan air mata” - Hadith riwayat Imam Bukhari dalam
sahihnya,
2. Umar R.A menangis
Menurut ‘Ubaid bin Umair
R.A, ketika Umar Al-Khattab mengerjakan solat subuh bersamanya, baginda membaca
Surah Yusuf dari awal hingga ke ayat 84:
“Dan kedua matanya
menjadi putih kerana kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan amarahnya” –
(Surah Yusuf : 84)
Baginda menangis dan
kemudian rukuk.
Dalam satu kisah yang lain,
menurut seorang sahabat, Hisyam bin Al-Hassan, beliau berkata “Umar membaca
ayat-ayat Al-Quran lalu menagis sehingga hampir tercekik kerongkongnya. Baginda
kemudian kembali ke rumah, orang ramai menyangkakan baginda demam.
3. Tangisan Usman R.A
Usman bin Affan , menangis
jika melewati tanah perkuburan sehingga basah janggutnya. Hani’, hambanya
bertanya kenapa Usman menangis, lalu Usman menjawab
Aku terdengar Rasulullah
SAW bersabda, “kubur adalah tempat pertama daripada tempat-tempat akhirat. Jika
selamat darinya, maka mudahlah selanjutnya. Jika tidak, selanjutnya adalah azab
yang lebih mengerikan.”
Usman menambah, “Aku tidak
pernah melihat satu pemandangan yang lebih menakutkan selain daripada kubur”
Begitulah beberapa kisah
insan-insan mulia yang sangat mudah tersentuh jiwanya lalu menangis kerana
takutkan Allah SWT. Kita sebagai seorang muslim, sewajarnya perlu memiliki
sifat takut kepada Allah didalam kehidupan kita.
Nabi dan para sahabat
adalah pejuang agama Allah, bersama-sama menegakkan daulah Islamiyyah dan pada
masa yang sama tangisan sebagai hamba dek kerana takut kepada Allah bergerak
seiiring didalm helaian sirah perjuangan agung ini.
Oleh itu, marilah kita
sama-sama bermuhasabah, sedaya mampu cubalah untuk menangis mengenangkan
kekuasaan Allah dan pada masa yang sama baikilah diri menjadi untuk menjadi
pejuang agama yang dekat dengan Allah SWT. Semoga kita sama-sama beroleh
pertolongan daripada Allah SWT
No comments:
Post a Comment